'Salah ke saya tulis tangan untuk tarik budak minat subjek?'

Iklan
Cikgu Hishamudin meluahkan rasa kecewa apabila niatnya disalah erti berkenaan tulisan tangan di papan putih.

"Buang masa je kau tulis tangan. Sekolah kau takde teknologi ke?"

Itu antara ayat dilemparkan oleh rakan pendidik terhadap usaha seorang guru yang memilih untuk menulis nota secara manual demi menarik minat pelajarnya terhadap subjek yang diajar.

Iklan
Iklan

Guru yang dikenali sebagai Hishamudin Adenan itu meluahkan rasa kecewa dan tersentap apabila niatnya disalah erti.

Bagaimanapun, beliau tidak patah semangat. Baginya, setiap guru ada cara tersendiri untuk menyemai minat belajar dalam diri anak-anak didik.

Iklan

"Salah ke saya tulis tangan untuk tarik budak minat subjek saya? Itu salah satu cara saya untuk tarik budak. Bukan bermakna langsung saya tak guna teknologi di sekolah.

"Bagi saya, ikut kesesuaian, subjek dan masa. Yang penting, budak suka cara kita mengajar. Itu lebih bermakna dan memberi kepuasan," kongsinya seperti dipetik menerusi laman sosial Facebook.

Iklan

Sinar Bestari menjengah ke ruangan komen dan mendapati rata-rata netizen tampil mempertahankan tindakan guru berkenaan, malah memuji pendekatan yang diambil.

Antara komen yang mendapat sokongan ramai adalah:

"Saya pun guru. Kadang-kadang pelajar lebih tertarik dengan tulisan tangan kita. Lebih personal dan mereka rasa kita buat khas untuk mereka." 

"Saya pernah bertanya seorang ustaz senior yang menulis Rancangan Pengajaran Harian (RPH) dengan tulisan tangan. Saya tanya kenapa tak taip dan print? Beliau jawab, memang senang buat begitu tapi...saya harap tambah pahala dan tangan saya ini menjadi saksi di hadapan ALLAH SWT nanti di mana saya sudah jalankan amanah sebagai guru. Aduh, memang tersentak dengan jawapan itu...tapi saya tak mampu mengikut jejak langkahnya. Bagi kita anggap leceh, tapi bagi orang lain ia adalah satu kelebihan." 

"Masya-ALLAH. Cantik dan kemas sekali tulisan cikgu. Teruskan amalan baik dan indah ini. Dah jarang anak-anak murid sekarang nak tengok tulisan sambung begini." 

"Cikgu Sham memang berbakat, kerja tip top, anak murid mesti suka dengan cikgu macam ni." 

"Kaedah pengajaran bukan satu hala. Tak semestinya berteknologi tinggi. Yang penting, pelajar faham dan teruja belajar. Teruskan cikgu!"