Kerajaan Johor memberi kelonggaran kepada pelajar sekolah agama negeri untuk memakai pakaian bersesuaian berikutan cuaca panas ketika ini, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid.
Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan pelajar selesa mengikuti sesi pembelajaran dengan Pejabat Pendidikan Islam Daerah (PPID) diberi kuasa menentukan pakaian yang bersesuaian.
"Pemakaian ke sekolah dipermudahkan dengan pakaian yang longgar, sebab di Johor ini memang kena pakai baju Melayu, jadi kadang-kadang pakaian perlulah sesuai dengan cuaca," katanya selepas menutup Karnival Mahabbah Komuniti Madani Peringkat Negeri di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada Ahad.
Beliau berkata, kelonggaran berkenaan pernah dilaksanakan sebelum ini dan ia tidak seharusnya menjadi isu sekiranya dibenarkan apabila keadaan memerlukan.
Mengenai Karnival Mahabbah Komuniti Madani, Mohd Fared berkata, program itu merupakan kerjasama strategik pelbagai pihak dalam mendekati masyarakat, khususnya golongan muda bagi memberi kefahaman terhadap isu sosial dan agama yang semakin mencabar.
Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, program itu selari dengan Pelan Transformasi Al-Falah.
Beliau berkata, pelan itu dalam usaha membendung masalah sosial secara menyeluruh, serta memastikan agenda"Islam Mekar di Bumi Malaysia" terus dipertahankan. - Bernama