Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengucapkan tahniah kepada MARESMAF Wind Orkestra (MAWO) dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab Felda Trolak, Perak atas kejayaan merangkul Anugerah Emas Golden Diploma Award di Festival Antarabangsa Orkestra Tiupan 2025 di Prague, Republik Czech.
Beliau menyifatkan pencapaian itu sebagai suatu kebanggaan buat keluarga besar Felda dan seluruh rakyat Malaysia.
"Bayangkan, anak-anak Felda ini baru sahaja menghidupkan semula orkestra ini, tetapi sudah berjaya membuktikan bahawa anak Felda benar-benar Mendonia!," katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Kejayaan MAWO itu turut mengharumkan nama negara apabila mengetepikan tujuh kumpulan orkestra lain dari enam negara dalam kategori kelas pertengahan (middle class) sekali gus menjadi satu-satunya peserta dari Asia yang menawan pentas antarabangsa tersebut. - Bernama