Semakin ramai ibu bapa di Malaysia kini terlalu bergantung kepada peranti pintar seperti telefon dan tablet untuk menenangkan anak-anak kecil.
Gajet yang sepatutnya menjadi alat sokongan kini menjadi 'pengasuh digital' utama dalam rumah tangga moden.
Fenomena ini bukan sahaja berlaku di Malaysia tetapi di seluruh dunia dan ia sudah mula menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan pakar perkembangan kanak-kanak dan pendidik.
Penggunaan gajet yang berlebihan dikaitkan dengan kelewatan pertuturan, gangguan tumpuan, masalah tidur dan penurunan interaksi sosial dalam kalangan kanak-kanak.
Anak-anak memerlukan interaksi fizikal dan emosi untuk membina persekitaran sosial dan mental yang sihat.
Namun, apabila masa ini digantikan dengan pendedahan skrin yang melampau, mereka berisiko kehilangan peluang belajar melalui pengalaman sebenar serta berkomunikasi secara langsung dengan orang di sekeliling.
Ibu bapa yang sibuk sering menggunakan gajet sebagai alat 'penenang segera' ketika berada di restoran, rumah atau dalam kereta.
Walaupun ia memberikan ketenangan sementara, anak-anak menjadi bergantung dan mudah gelisah apabila gajet diambil.
Kebergantungan ini akhirnya menimbulkan ketidaktenteraman yang lebih besar.
Tanda anak ketagih gajet termasuk menangis atau meragam apabila gajet diambil, sukar tidur, sikap pasif, kurang minat bermain secara aktif dan enggan bergaul dengan rakan sebaya.
Masalah tidur yang disebabkan oleh pendedahan skrin juga boleh menyebabkan anak mudah marah, tidak fokus dan cepat penat seterusnya menjejaskan prestasi mereka di prasekolah dan hubungan sosial.
Ramai ibu bapa sedar akan kesan negatif ini, tetapi tidak tahu bagaimana untuk mengawalnya.
Ada yang tiada pilihan lain kerana tiada sokongan penjagaan anak dan kesibukan kerja.
Namun, ibu bapa perlu sedar bahawa mereka adalah penjaga masa depan anak, bukan gajet.
Penting untuk memastikan anak mendapat masa seimbang antara aktiviti fizikal, bermain, membaca dan berinteraksi secara langsung dengan orang lain.
Ibu bapa boleh memulakan langkah kawalan dengan menetapkan had masa skrin harian, menggunakan gajet bersama anak bagi memberi bimbingan, mengelakkan penggunaan gajet sebelum tidur dan mewujudkan zon bebas skrin di rumah.
Menggantikan masa skrin dengan aktiviti menyeronokkan seperti bermain di luar dan membaca sangat membantu perkembangan mental dan fizikal anak.
Isu ini bukan sahaja tanggungjawab ibu bapa, tetapi juga guru, masyarakat dan pihak berkuasa perlu memainkan peranan dengan memberi pendidikan, kesedaran dan sokongan.
Teknologi bukan musuh, tetapi ia harus digunakan secara bijak supaya anak-anak dapat membesar dengan seimbang, sihat dan bukan hanya menjadi pengguna pasif gajet dalam dunia digital yang semakin pesat berkembang.
Maklumat penulis:
1) Pelajar Komunikasi Media Baharu, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Ammar Aidid Abdul Razak
2) Pensyarah Kanan, Komunikasi Media Baharu, USIM, Dr Afiqah Kamarul
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my