Pilih Tingkatan Enam, buktikan kejayaan raih PNGK 4.00

Iklan
Dari kiri: Muhammad Fahrin Danial, Siow Xuan dan Kalpana memperoleh keputusan cemerlang dalam STPM 2024.

Tidak semua kejayaan bermula dengan laluan arus perdana.

Bagi beberapa pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024, memilih Tingkatan Enam sebagai jalan ke menara gading adalah keputusan terbaik dalam hidup mereka dan ia terbukti apabila masing-masing berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00.

Iklan
Iklan

Di Seremban, Negeri Sembilan, Muhammad Fahrin Danial Abdul Aziz, 20, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mantin membuktikan bahawa keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bukan penentu masa depan mutlak.

Dia memperoleh 6A dalam SPM, namun tetap yakin Tingkatan Enam adalah pilihan terbaik.

Iklan

"Pilihan pertama saya memang Tingkatan Enam kerana saya nampak banyak kelebihan di situ, selain yurannya pun murah," katanya ketika ditemui di Kolej Tingkatan Enam Tuanku Muhriz.

Dia yang merupakan antara 38 calon STPM 2024 yang memperoleh PNGK 4.00, menekankan bahawa kejayaan bukan semata-mata tentang akademik.

Iklan

"Yang pertama, kita kena menjaga hubungan dengan ALLAH SWT, kedua menjaga hubungan dengan ibu bapa termasuk hubungan sesama manusia dan adab dengan guru-guru. Itu mungkin asbab kejayaan saya," katanya.

Muhammad Fahrin Danial kini berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang Pengajian Bahasa Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk merealisasikan impiannya menjadi guru.

Turut cemerlang ialah S Kalpana Sri, 20, dari sekolah sama yang meraih PNGK 4.00 dalam aliran Perakaunan.

Dia mengamalkan rutin belajar bermula seawal jam 4 pagi dan merancang ulang kaji menggunakan aplikasi Notion.

"Saya konsisten ulang kaji ikut jadual yang saya susun sendiri. Itu yang bantu saya kekal fokus," katanya.

Kalpana kini merancang menyambung pengajian dalam bidang Perakaunan di Universiti Malaya (UM).

Di Pendang, Kedah, pelajar SMK Kubor Panjang, Sapsirik Bunteng, 19, merendah diri apabila memperoleh PNGK 4.00, walaupun tidak pernah menganggap dirinya pelajar pintar.

"Saya bukan pelajar genius. Saya perlu ulang banyak kali, baca banyak kali. Tapi saya tetap usaha dan belajar setiap hari selama 4 hingga 6 jam," katanya sambil tersenyum.

Anak sulung kepada pasangan Bunteng Esun dan Ekhi itu merupakan pelajar keturunan Siam yang bercita-cita menjadi guru Sejarah.

Sapsirik mengakui keputusan sebelum ini hanya sekitar PNGK 3.50, namun dia  bangkit dengan semangat baru dalam semester akhir.

Sapsirik merupakan antara lapan pelajar SMK Kubor Panjang yang memperoleh PNGK 4.00, menjadikan sekolah itu antara Sekolah Terbaik STPM 2024 di Kedah, bersama SMK Serdang.

Pelajar lain yang turut cemerlang termasuk Itmam Shatri Mohamad Radzi, 19, dan Adibah Romli, 19.

"Waktu SPM dulu saya bukan pelajar cemerlang, tapi saya anggap STPM sebagai peluang kedua untuk ubah masa depan. Saya berusaha sebaik mungkin," kata Adibah.

"Alhamdulillah...Saya tak sangka. Ibu bapa saya, yang juga guru, serta barisan cikgu banyak beri galakan," kata Itmam pula.