"Kalau bukan guru yang percaya kepada potensi mereka, siapa lagi?"
Begitu kata Guru Pendidikan Khas, Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Krau, Temerloh, Pahang, Mohammad Hazeem Azemi kepada Sinar Bestari.
Beliau yang dikenali kerana dedikasinya dalam mendidik dan membimbing Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) kategori bermasalah pembelajaran dan Orang Asli berkata, para pelajarnya bukan insan lemah sebaliknya manusia yang dikurniakan keunikan yang tidak dimiliki orang lain.
"Sudah lapan tahun saya bergelumang dalam dunia pendidikan. Sepanjang tempoh itu, saya sedar bahawa mereka ini punya kelebihan yang luar biasa cuma caranya berbeza.
"Walaupun keputusan akademik tidak begitu cemerlang, namun pelajar-pelajar ini menunjukkan penguasaan yang sangat baik dalam bidang kemahiran. Atas sebab itu, saya bangunkan Studio Multimedia PPKI di sekolah ini khusus untuk mereka," katanya.
Mohammad Hazeem yang mengajar subjek Asas Multimedia, Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Modular berkata, Studio Multimedia PPKI yang diwujudkan itu adalah sebuah makmal IT yang berkonsep mesra OKU pertama di Malaysia untuk pelajar berkeperluan khas dan Orang Asli.
"Studio ini dibangunkan dengan konsep permainan komputer dilengkapi dengan kerusi dan meja, komputer dan kelengkapan aksesori untuk memberi motivasi kepada para pelajar.
"Mereka belajar suntingan video dan foto, mengedit gambar, pembelajaran berasaskan permainan komputer, kemahiran penyiaran dan banyak lagi.
"Semua ini membuka peluang kepada mereka untuk berdikari dan mencorak masa depan dengan cara tersendiri,” ujar anak pertama daripada empat beradik.
Menurut graduan Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Khas), Universiti Sains Malaysia, MBPK kendaliannya sangat pemalu dan rendah diri. Mereka tidak berani tampil ke hadapan walaupun sudah diberi peluang.
"Saya sentiasa mendorong mereka untuk mengeluarkan potensi yang terpendam dalam diri masing-masing. “Memang bukan mudah, tetapi saya percaya para pelajar ini mampu lakukan sama seperti orang lain," katanya lagi.
Susulan keberanian MBPK, satu demi satu kejayaan telah dicipta. Mereka berjaya melaksanakan tugas sebagai jurukamera dan juruvideo peringkat negeri dan kebangsaan tanpa perlu bergantung kepada guru.
Malah, para pelajar ini juga dapat mengendalikan tugasan rasmi dan bengkel latihan terutama berkaitan teknologi digital dengan baik serta dilantik Duta Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Terbaharu, mereka menerima tawaran agensi kerajaan untuk menghasilkan sebuah video korporat berdurasi empat minit.
Dibayar kerana skil
Menariknya, projek berprestij ini disertakan dengan bayaran profesional bernilai empat angka sekali gus membuktikan kemampuan luar biasa mereka dalam bidang kemahiran kreatif digital.
Lebih membanggakan, kumpulan pelajar ini turut menerima jemputan daripada beberapa agensi dan syarikat untuk memberi latihan berkaitan penjenamaan peribadi termasuk tawaran daripada Institut Biodiversiti Veterinar Kebangsaan.
Mereka juga akan terbang ke Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu November depan bagi menjalani penggambaran video berasaskan kesan khas visual (VFX) serta membuat pembentangan istimewa di sebuah universiti terkemuka di sana.
Keseluruhan projek ini direalisasikan menerusi tajaan penuh ikon usahawan tempatan dan aktivis alam sekitar, Fida Jungle Girl.
"Kejayaan ini adalah lanjutan daripada projek Studio Multimedia PPKI yang dibangunkan khas di sekolah sebagai platform untuk mereka meneroka dunia kemahiran teknologi digital termasuk suntingan video, animasi dan VFX.
"Dengan bantuan pihak luar seperti Fida Jungle Girl, kami kini selangkah lagi untuk membuktikan bahawa pelajar Pendidikan Khas juga mampu menembusi pentas global," ujarnya.
Pencapaian anak-anak didik Mohammad Hazeem secara tidak langsung telah membuktikan bahawa pelajar istimewa dari sekolah luar bandar mampu mencipta kejayaan.
Anugerah dan pencapaian
- Anugerah Guru Pendidikan Khas Berwibawa Kebangsaan
- Edufluencers 3.0 KPM
- Rise Educator Of The Year Award 2022
- Duta Guru KPM - Yayasan Petronas
- Top 50 Cikgu Juara Digital
- Guru Peneraju Generasi Digital KPM
- Anugerah Guru Inspirasi Mcdonald’S
- Anugerah Ikon Guru Pendidikan Khas Negeri Pahang
- Anugerah Guru Cemerlang Pendidikan Khas Negeri Pahang
- Anugerah Tokoh Kokurikulum Guru Pendidikan Khas Negeri Pahang
- Anugerah Ikon Adiguru Negeri Pahang
- Anugerah Ikon Guru STEM Negeri Pahang
- Ikon Guru Inovasi Pendidikan Temerloh
- Ikon Guru Pendidikan Khas Temerloh
- Ikon Guru Inovatif PPKI Temerloh
- Duta Guru STEM Temerloh
- Tokoh Guru Harapan USM
- Ikon Pemimpin Belia Kelantan
- Tokoh Kemasyarakatan Mahasiswa Kelantan