'Kejayaan ini saya hadiahkan untuk mak yang sudah tiada' - Luah Yu Keat yang meraih PNGK 4.00 STPM 2024

Iklan
Yu Keat menunjukkan gambar bersama mendiang ibunya yang dirakam dua tahun lalu.

"Saya dedikasikan keputusan cemerlang ini untuk mak yang sudah tiada."

Demikian luah Pang Yu Keat, 20, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, Terengganu yang memperoleh keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024.

Iklan
Iklan

Kejayaan itu lebih bermakna buat Yu Keat apabila dapat menunaikan impian mendiang ibunya, Chen Yi Ping, yang meninggal dunia akibat barah payudara pada usia 45 tahun.

Menurutnya, ibu meninggal dunia dua minggu sebelum dia menduduki peperiksaan percubaan STPM Semester 1 pada Disember 2023.

Iklan

"Sebelum mak pergi, dia pesan supaya saya buat yang terbaik untuk hidup dan juga untuk STPM. Saya tak sangka boleh cemerlang sehingga dapat PNGK 4.00.

"Masa Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dulu saya hanya dapat 1A sahaja, itu pun dalam subjek Matematik," katanya pada Selasa.

Iklan

Anak sulung daripada dua beradik itu kini tinggal bersama bapanya, Pang Wai Cheong, 55, yang bekerja sebagai tukang cat kereta di Pulau Kambing, di sini.

Yu Keat turut berkongsi rahsia kejayaan antaranya ialah belajar secara berkumpulan dan juga bersendirian pada waktu tengah hari.

"Saya sebenarnya lebih suka belajar waktu tengah hari selepas makan kerana ketika itu badan sedang berehat, fikiran pula lebih tenang dan mudah memahami pelajaran.

"Pada waktu malam saya biasanya tidur awal untuk bangun awal ke sekolah. Saya percaya disiplin sangat penting untuk berjaya," katanya yang menetap di Gong Badak, Kuala Nerus.

Dalam peperiksaan STPM tahun lalu, Yu Keat mengambil empat mata pelajaran iaitu Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Pengajian Am, Ekonomi dan Geografi.

Sementara itu, seorang lagi pelajar cemerlang dari sekolah sama, Sarah Mohamed Mohamed Ibrahim, 20, berkata, dia tidak menyangka mampu memperoleh keputusan membanggakan dalam STPM walaupun berdepan pelbagai ujian hidup.

Sarah berkata, masalah kesihatan yang dialaminya dan keretakan hubungan dengan bapa akibat penceraian menjadi pembakar semangat untuk terus belajar bersungguh-sungguh demi masa depan.

Sarah bersama keputusan cemerlang 4.00 yang diterima pada Selasa.

"Saya pegang satu petua untuk berjaya iaitu jaga hubungan dengan ALLAH SWT dan manusia.

"Sebab ramai yang terlupa benda tu. Kadang-kadang walaupun kita cukup solat lima waktu, tapi kita pandang rendah pada orang lain.

"Jadi bagi saya, kita kena jaga benda tu, benda baik pun akan berbalik kepada kita, misalnya kejayaan yang akan dicapai," ujarnya yang telah menjalani empat kali pembedahan akibat masalah kesihatan.

Selain itu, Sarah berkata, kebiasaannya dia akan mengulang kaji pelajaran secara konsisten selama 30 minit setiap malam.

"Bagi saya waktu tengah malam adalah paling tenang untuk belajar kerana saya tidak dapat beri tumpuan dalam keadaan kelam-kabut dan dalam keadaan saya sendiri tidak bersedia," katanya.

Seramai 13 calon STPM dari SMK Sultan Sulaiman mendapat keputusan cemerlang dengan rekod PNGK 4.00.