Seramai 34 pelajar Tingkatan Empat dari Maahad Tahfiz Sains Al-Muhammadi, Nipah, Bachok, Kelantan telah khatam 30 juzuk al-Quran secara berkumpulan di puncak Gunung Stong setinggi 1,422 meter pada program Kem Mukhayyam Tarbawi 2025 yang berlangsung selama tiga hari, bermula 29 hingga 31 Mei lalu.
Pengarah Program merangkap Penolong Kanan Kokurikulum, Mohd Aris Farizal Abdul Halim berkata, program bertemakan"HANGAT - Hayati Alam, Ingat Tuhan" itu bukan sekadar aktiviti luar semata-mata, sebaliknya medan terbaik untuk membina jati diri dan semangat mujahadah dalam kalangan pelajar.
"Mukhayyam ini menguji fizikal dan mental, namun yang lebih utama adalah bagaimana ia mengukuhkan ukhuwwah dan menjentik rasa kekaguman terhadap ciptaan ALLAH. Setiap peluh yang menitis sepanjang pendakian membawa makna mujahadah yang mendalam," katanya pada Selasa.
Menurut beliau, program tahunan yang kini memasuki tahun ketujuh sejak mula diperkenalkan pada 2016 itu menjadi antara aktiviti paling dinanti-nantikan warga sekolah setiap tahun.
Ujarnya, antara pengisian menarik sepanjang program termasuk aktiviti perkhemahan di Kem Baha, khatam al-Quran 30 juzuk secara berkumpulan, menikmati panorama matahari terbit dari viewpoint Gunung Stong serta mandi-manda di Telaga Tujuh Puteri yang terkenal dengan kejernihan airnya.
Mohd Aris Farizal memberitahu, kemuncak program adalah pendakian mencabar selama hampir lima jam ke puncak Gunung Stong yang menyajikan pemandangan menakjubkan sebagai ganjaran atas usaha dan ketabahan para peserta.
Sementara itu, Pengetua Maahad Tahfiz Sains Al-Muhammadi, Muhamad Sharifuddin Noh berkata, pendekatan pembelajaran di luar bilik darjah seperti ini penting dalam melahirkan huffaz yang seimbang dari aspek spiritual, fizikal dan intelektual.
"Kami tidak mahu hanya melahirkan pelajar yang menghafaz al-Quran semata-mata, tetapi juga memiliki kekuatan emosi dan jiwa kepimpinan. Di sinilah alam menjadi guru dan tarbiah secara langsung berlaku dalam keadaan paling asli," katanya.
Menurut beliau, dalam usaha menyokong pembentukan generasi huffaz yang cemerlang, pihak sekolah turut mengalu-alukan sumbangan orang ramai ke Tabung Kecemerlangan Ibnu Sina yang digunakan bagi menjalankan pelbagai program akademik dan kecemerlangan pelajar.
Ujarnya, sumbangan boleh disalurkan ke akaun berikut Bank Islam Malaysia Berhad 0301 8010 1890 64 (Tabung Kecemerlangan Ibnu Sina).