'Selamat jalan adik Amin, kami akan selalu merinduimu' - Warga maya sebak pemergian murid Pasti

Iklan
Pemergian adik Amin meruntun hati warga Pasti terutamanya dalam kalangan rakan-rakan sekelas.

"Pemergian insan tersayang, adik Muhammad Al-Amin akibat kemalangan jalan raya sungguh merentap hati setiap yang mengenali terutama kawan-kawan sekelas dan guru-gurunya.

"Anak-anak kecil kawannya berdiri terpaku di sisi jenazah sambil melihat guru mencium dahi buat kali terakhir jenazah adik Al-Amin.

Iklan
Iklan

"Kawan-kawan masih belum mengerti mengapa insan yang mereka sayangi kini diam tidak bernyawa. Suasana pilu menyelubungi setiap ruang jiwa, air mata mengalir deras tanpa mampu ditahan.”

Itulah antara coretan pilu di laman Facebook Pemuda PAS Terengganu susulan kematian murid Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Al-Jannah, Kampung Tanjung Bunut, Kuala Terengganu, Terengganu, Muhammad Al Amin Khairul Syahmi, 5, dalam satu kemalangan pada petang Selasa.

Iklan

Turut terkorban dalam kemalangan itu adalah Isnaini Mohd, 42, (ibu) di mana masing-masing parah di bahagian kepala selepas lori dipandu Khairul Syahmi Mat Hassan, 49, (suami Isnaini) hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di Kilometer 362.9 Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2).

Khairul Syahmi yang kini cedera parah menerima rawatan di unit kecemasan Hospital Dungun.

Iklan

Salah seorang guru Amin yang dikenali Azizah Mohd melahirkan rasa terkejut dengan pemergian anak didiknya yang disifatkan sebagai murid pendiam, mudah diurus, sentiasa tersenyum dan tidak pernah menyusahkan sesiapa.

"Semua guru Pasti terkesan dengan kehilangan Allahyarham. Minggu lepas wajah Amin lain, nampak sangat putih, pucat dan berseri.

"Arwah juga datang ke sekolah lebih awal daripada biasa. Tapi tak sangka itu minggu terakhir dia bersama kami," kata Azizah kepada portal tempatan.

Sementara itu, tinjauan Sinar Bestari di ruangan komen Facebook mendapati rata-rata warga maya menzahirkan rasa sedih dan pilu terhadap pemergian adik Amin yang meninggal dunia bersama ibunya.

Mereka memohon agar kedua-dua beranak itu ditempatkan dalam kalangan insan beriman dan dikurniakan syurga paling tinggi oleh ALLAH SWT.

"Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Moga ibu dan anak dikumpulkan semula di syurga Firdaus, tempat terindah buat jiwa suci." 

"Semoga arwah isteri dan anak ditempatkan dalam kalangan orang-orang soleh dan solehah. Buat suami yang sedang bertarung nyawa, kami doakan cepat sembuh." 

"Perginya adik Amin dan ibu tercinta dalam tragedi yang memilukan. Semoga keduanya dikumpulkan di Jannah tertinggi. Doa kami juga mengiringi si ayah agar diberi kesembuhan dan kekuatan menghadapi ujian ini. Aamiin Ya Rabb."