Hanya dengan lirikan mata dan gerak wajah, seorang murid cilik berjaya memimpin sebuah kumpulan muzik sehingga dinobatkan sebagai juara keseluruhan pada Pertandingan Ensembel Rekoder dan Genderang Peringkat Negeri Sabah.
Itulah keistimewaan dimiliki oleh Ziqri Harith Zul Hassan, murid Tahun Lima dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kepayan yang mempunyai aura besar dalam dunia seni persembahan.
Keupayaannya mengawal alunan muzik dihasilkan daripada tiupan rekoder bagi kumpulan mereka yang dikenali sebagai Cantabayu Recorder Consort berjaya menewaskan 14 pasukan lain untuk meraih gelaran juara keseluruhan.
Lebih membanggakan, Ziqri Harith turut dipilih sebagai Konduktor Terbaik sekali gus membawa pulang anugerah utama pada pertandingan berprestij itu.
"Saya belajar memimpin kumpulan melalui tunjuk ajar guru. Selain menggunakan tangan, saya turut berkomunikasi dengan rakan melalui ekspresi wajah dan pandangan mata mengikut rentak lagu," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutupan Festival Rancak Seni (FERAS) 2025 di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Sabah (JKNNS) pada Rabu.
Menurut Ziqri Harith, meskipun cabarannya besar, namun hasil bimbingan guru dan latihan berterusan membolehkan dia menguasai teknik memimpin ensembel dalam tempoh kurang dua minggu.
Bagi guru pembimbing, Ronail Julius Gidong, kejayaan tersebut adalah hasil kesungguhan semua pihak meskipun berdepan kekangan masa latihan.
"Kami hanya diberitahu mereka layak ke peringkat akhir beberapa hari sebelum pertandingan.
"Dalam tempoh tersebut, kami berlatih selama dua jam setiap hari selepas waktu persekolahan," jelasnya.
Kumpulan Cantabayu Recorder Consort mempersembahkan dua lagu iaitu pemilihan wajib bagi lagu OST anime dan runut bunyi tempatan iaitu Voltes V no Uta (OST Voltes V) serta Sayang Kinabalu.
Kedua-dua persembahan tersebut berjaya memukau barisan juri dan penonton sekali gus mengalahkan pasukan dari sekolah seluruh Sabah.
Ronail turut mendedahkan bahawa pemilihan pasukan dibuat melalui sesi uji bakat yang turut disertai Ziqri Harith.
"Ziqri Harith seorang murid yang pendiam di dalam kelas tetapi ketika sesi pemilihan, dia sendiri menawarkan diri.
"Bakat kepimpinannya menyerlah sejak awal dan akhirnya berjaya membuktikan keupayaannya di pentas pertandingan," katanya.
Pada festival sama, turut diadakan pertandingan Koir Perpaduan Generasi Madani yang disertai pelajar sekolah menengah.
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saint Joseph, Papar, mewakili Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Papar, muncul juara menerusi persembahan lagu Cinta Bayu dan Tanya Sama Itu Hud-Hud.