Cadangan melibatkan murid Tahun 1 dalam badan beruniform seperti pengakap mula mencuri perhatian ramai. Langkah ini bukan sahaja menarik minat guru dan ibu bapa, malah mendapat pelbagai reaksi daripada murid sendiri.
Jom bersama Sinar Bestari, mengetahui pendapat pelajar menjadi ahli pengakap seawal usia tujuh tahun.
1)"Aktiviti atau perkhemahan badan beruniform pengakap ini sering dilakukan. Bagi saya, adik-adik Tahun 1 masih manja dan tidak boleh berjauhan dengan ibu bapa. Kebiasaannya, kami akan berkhemah di sekolah atau tapak perkhemahan luar. Dari situ, kita boleh lihat bahawa adik-adik ini masih memerlukan pengawasan ibu bapa. Tidak salah untuk memperkenalkan program pengakap kepada mereka cuma mungkin perlu hadkan aktiviti."
- Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Mansor, Negeri Sembilan, Nurul Arisya Umairah Mohd Rozi, 15.
2)"Apabila murid Tahap 1 menyertai perkhemahan atau aktiviti pengakap, sudah pasti saya akan berasa gembira dan seronok. Lagipun, bagi sekolah di kawasan pedalaman ini memang kekurangan aktiviti. Jika ada persatuan beruniform seperti pengakap atau yang lain-lain, bolehlah ia mendidik pelajar sejak awal dalam membina keyakinan diri dan sebagainya."
- Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Medan, Selangor, Muhammad Khairiel Adryan Mohd Khairul Azwam, 11.
3)"Kalau hendak libatkan murid yang masih kecil memang boleh tetapi mereka akan cepat bosan kalau ada banyak aktiviti atau program berstruktur. Bagi saya, pelajar Tahap 1 lebih gemarkan aktiviti santai yang tidak terikat dengan mana-mana peraturan seperti bercerita, mewarna dan bukan program yang lasak. Murid Tahun 1 hingga 3 ini, kebiasaannya perlu bimbingan daripada guru, bagi saya agak sukar untuk cikgu-cikgu kawal kesemua pelajar.”
- Pelajar SMK Datuk Mansor, Negeri Sembilan, Syazliana Aniesha Shamsul Azhar, 16.
4)"Saya rasa murid Tahap 1 perlukan masa untuk biasakan diri. Mereka patut menyertai aktiviti ringan dan sesuai umur. Jangan terus suruh kawad kaki. Saya juga tidak menolak bahawa pengakap banyak mengajar tentang disiplin dan keyakinan diri. Bagus juga kalau adik-adik Tahap 1 pun dapat rasa pengalaman yang sama.”
- Pelajar SMK Rantau Panjang, Selangor, Akieff Iman Suhairul Nizam, 15.
Trivia Pengakap
- Pengakap merupakan satu pergerakan atau pertubuhan sukarela tertua di dunia. Ia juga sesuai dianggotai oleh semua peringkat umur daripada anak-kanak sehingga ke generasi tua.
- Pergerakan Pengakap Malaysia (PPM) diasaskan oleh Lord Robert Baden-Powell dari United Kingdom pada tahun 1907 melalui kem pertama di Pulau Brownsea.
- Mula bertapak di Tanah Melayu pada tahun 1908, bermula di Pulau Pinang, menjadikannya antara pergerakan kepanduan terawal di Asia Tenggara.
Terdapat lima peringkat dalam badan beruniform ini:
- Pengakap Lebah (Prasekolah)
- Pengakap Kanak-kanak (Sekolah rendah lapan - 12 tahun)
- Pengakap Muda (12 -15 tahun)
- Pengakap Remaja (15 - 18 tahun)
- Pengakap Kelana (17 - 25 tahun)