Murid SK Taman Rakyat johan Skuasy MSSM 2025

Iklan
Nurul Nisa juara kategori 12 tahun Perempuan dalam Kejohanan Skuasy MSSM 2025.

Murid Tahun 6 Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rakyat, Nurul Nisa Md Nazir, mencipta sejarah apabila muncul juara dalam Kejohanan Skuasy Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2025 yang berlangsung di Kompleks Sukan Tan Sri Dato’ Hj Mohd Said, Seremban 2, baru-baru ini.

Guru Besar SK Taman Rakyat, Mazida Arshad berkata, Nurul Nisa yang beraksi dalam kategori 12 tahun Perempuan, mempamerkan aksi cemerlang sepanjang kejohanan dengan menewaskan semua lawan di peringkat kumpulan sebelum mara ke perlawanan akhir.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kejayaan itu bukan sahaja mengharumkan nama sekolah malah menaikkan nama negeri Kedah dalam acara tersebut.

“Dalam perlawanan penentuan, dia berjaya menewaskan wakil dari Selangor sekali gus merangkul gelaran juara kebangsaan.

Iklan

“Kejayaan ini adalah hasil latihan berterusan, semangat tinggi dan sokongan padu daripada jurulatih, keluarga serta pihak sekolah,” katanya.

Nurul Nisa (tengah) muncul juara kategori 12 tahun Perempuan dalam Kejohanan Skuasy MSSM 2025.

Iklan

Mazida berkata, pencapaian Nurul Nisa membuktikan murid sekolah rendah juga mampu bersaing di pentas kebangsaan dan membawa pulang kejayaan yang membanggakan.

“Kejayaan ini bukan sahaja meningkatkan imej SK Taman Rakyat sebagai sekolah aktif dalam bidang sukan terutama skuasy, malah menjadi inspirasi kepada murid lain untuk aktif dalam aktiviti kokurikulum,” ujarnya.

Mazida berkata lagi, pihak sekolah berharap Nurul Nisa akan terus menyerlah di peringkat lebih tinggi, termasuk mewakili negeri dan negara suatu hari nanti.

Kejohanan MSSM 2025 menghimpunkan pemain skuasy terbaik sekolah rendah dan menengah dari seluruh negara, melibatkan 14 kontinjen negeri.

Kategori 12 tahun Perempuan menyaksikan penyertaan lebih 28 pemain muda berbakat dari seluruh Malaysia.