Syabas Pengerusi Mara, tidak tunggu lama guna kuasa bantu Putri Qisya

Iklan
Asyraf Wajdi (belakang) dan Ahmad Zahid (tengah) turun padang memberi jaminan secara langsung kepada keluarga Putri Qisya baru-baru ini. Foto: Bernama

Merak Jalanan berasa lega dengan jaminan penuh empati oleh Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menjadikan Putri Qisya Nur Izzat Mohamad Azim Izat, 12, sebagai anak angkat Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan akan memantau perkembangannya sehingga ke peringkat tertinggi.

Pengerusi Mara itu turun padang dan menggunakan kuasa yang ada demi memastikan masa depan cerah Putri Qisya terjamin dan akan membantu sepenuhnya memastikan anak yatim piatu itu mendapat tempat di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Iklan
Iklan

Dalam kesedihan meratapi kehilangan ibu bapa dan empat adik-beradiknya dalam tragedi menyayat hati di Sungai Korok, Jitra, Kedah sekurang-kurangnya jaminan ini memberi sinar baharu kepada masa depan Putri Qisya.

Tindak balas segera Mara ini bukan sekadar memenuhi impian seorang ibu, tetapi membela seorang anak kecil yang mahu mengubah takdir hidup melalui pendidikan.

Iklan

Bagi Merak Jalanan, inilah contoh kepimpinan berjiwa rakyat. Tidak menunggu birokrasi yang panjang, tetapi terus bertindak atas dasar kasih sayang dan tanggungjawab sosial.

Ini menjadi contoh terbaik dengan Asyraf Wajdi dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri turun padang memberi jaminan secara langsung kepada keluarga.

Iklan

Inilah yang rakyat harapkan daripada seorang pemimpin. Bukan sekadar duduk di kerusi empuk, tetapi peka dan tangkas bertindak apabila wujud keperluan mendesak terutama dalam hal pendidikan dan kebajikan.

Semoga dengan keprihatinan seperti ini, Merak Jalanan berharap institusi seperti Mara terus menjadi pemacu harapan anak bangsa, bukan sekadar nama gah dalam dokumen rasmi.

Semoga pendekatan seperti ini juga bukan hanya berlaku dalam kes tragik, tetapi menjadi budaya di mana kuasa yang ada digunakan untuk mempermudah, bukan menangguh.

Tahniah Pengerusi Mara! Teruskan dengan usaha yang baik.

PENULIS: MERAK JALANAN