Ahmad Zahid bertanyakan sesuatu dengan Putri Qisya ketika melawatnya di Kampung Bohor Karang. Foto: Bernama
Ahmad Zahid bertanyakan sesuatu dengan Putri Qisya ketika melawatnya di Kampung Bohor Karang. Foto: Bernama

Putri Qisya kini anak angkat Mara. 'Kamu tidak lagi bersendirian, dik' - Reaksi warganet

ROSHLAWATY MD RAIEHROSHLAWATY MD RAIEH
09 Jul 2025 03:28pm

Dalam sekelip mata, dunia kecil murid berusia 12 tahun, Putri Qisya Nur Izzat Mohamad Azim Izat berubah selama-lamanya.

Kehilangan ibu, ayah dan adik beradik dalam tragedi lemas di Sungai Korok, Kedah pada Isnin telah meninggalkan luka mendalam yang sukar digambarkan.

Namun di sebalik duka itu, hadir sinar harapan apabila Majlis Amanah Rakyat (Mara) mahu menjadikan Putri Qisya sebagai anak angkat agensi tersebut sehingga dia melangkah ke menara gading.

Pengumuman itu disampaikan sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kunjungan ke rumah keluarga mangsa.

Beliau menyampaikan kata-kata semangat kepada Putri Qisya agar terus kuat dan berani menempuh ujian yang tidak mudah ini.

"Saya telah nasihatkan adik ini supaya menjadi anak yang solehah kerana doa anak solehah kepada ibu bapa tiada hijab. Saya minta dia sentiasa membaca al-Fatihah dan Yasin untuk dihadiahkan kepada ahli keluarga yang telah pergi.

Foto: Bernama
Foto: Bernama

Artikel Berkaitan:

"Saya juga galakkan dia untuk belajar bersungguh-sungguh demi masa depan. Insya - ALLAH, MRSM bersedia menerimanya tahun depan dan perkara itu turut dipersetujui oleh nenek Putri Qisya.

"Apa sahaja bantuan lain yang diperlukan oleh adik ini akan disalurkan secara berterusan. Kita mahu pastikan kebajikannya terpelihara dan masa depannya terus bersinar walaupun diuji hebat," ujar Ahmad Zahid.

Di media sosial, ribuan rakyat Malaysia menzahirkan rasa simpati, doa dan kekaguman atas ketabahan Putri Qisya.

Ramai terharu melihat wajahnya yang tenang walaupun kehilangan seluruh keluarga dalam sekelip mata.

"Tabahlah adik...ALLAH bersama orang yang sabar." 

"Semoga adik Putri Qisya berjaya dunia akhirat dan membanggakan ibu bapa di syurga." 

"Kehilangan ibu, ayah dan adik-adik dalam sekelip mata memang sangat sedih. Tapi percayalah dik, kamu tidak lagi bersendirian." 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp