30 pelajar UCMI terima tajaan penuh

Iklan
Bakhtiar Aliff (empat dari kiri), Noor Inayah (enam dari kanan) dan Nor Fadilah (empat dari kanan) pada Innovated 2025, di UCMI Kuala Lumpur pada Rabu.

Al Kauthar Eduqids memberi tajaan sepenuhnya kepada mahasiswa UCMI

Pendidikan yang berkualiti merupakan asas utama dalam membentuk generasi berilmu, berdaya saing dan berakhlak mulia.

Menyedari hakikat itu, Al Kauthar Eduqids tampil memberikan tajaan penuh kepada 30 mahasiswa Universiti College MAIWP International (UCMI) yang terpilih sekali gus membuktikan komitmen mereka dalam memartabatkan dunia pendidikan tanah air.

Iklan
Iklan

BAKHTIAR ALIFF

Ketua Pegawai Eksekutif Al Kauthar Eduqids, Datuk Bakhtiar Aliff Ibrahim berkata, kerjasama strategik itu merupakan sokongan terhadap pembangunan pembelajaran anak bangsa.

Iklan

Katanya, slogan Live to Give merujuk kepada pegangan bahawa rezeki yang dikongsi akan melahirkan masyarakat lebih berdaya saing dan penyayang.

“Saya berharap agar lebih banyak sinergi antara sektor pendidikan dan industri dapat diwujudkan demi masa depan generasi akan datang.

Iklan

“Pihak Al Kauthar Eduqids juga sudah menjalinkan hubungan dengan universiti ini sejak tahun lalu. Kita melihat sebagai pemain industri, kita tidak boleh berdiri dengan sendiri tanpa sokongan pihak berwajib seperti pemain-pemain dalam bidang pendidikan.

“Jadi, kita memerlukan orang-orang pendidikan di universiti untuk sentiasa sokong apa yang kita buat dan sentiasa memberikan pengesahan kepada Al Kauthar Eduqids,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian cek cura tajaan sempena Inovated 2025: Persidangan antarabangsa pertama mengenai inovasi digital dalam pendidikan dan sains sosial, di UCMI Kuala Lumpur.

Bakhtiar Aliff (kiri) menyampaikan cek cura kepada Noor Inayah (kanan) pada Innovated 2025 di UCMI Kuala Lumpur pada Rabu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Al Kauthar Eduqids, Datin Dr Nor Fadilah Alias berkata, pihaknya mengambil inisiatif untuk melahirkan graduan yang hebat dari segi akademik dan kemahiran.

Sebagai pemain industri, pihaknya akan membantu universiti supaya sama-sama menjadikan pelajaran sebagai keutamaan mahasiswa.

“Secara tidak langsung, kerjasama antara Al Kauthar Eduqids dengan UCMI mendapat manfaat yang berpanjangan,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Canselor UCMI, Profesor Dr Noor Inayah Ya’akub berkata, mahasiswa perlu menjalani sesi temu duga untuk melayakkan diri mendapatkan tajaan penuh daripada Al Kauthar Eduqids.

“Kelebihan pelajar di UCMI ini, kita akan turut memberikan kemudahan kewangan apabila mereka layak mengikut kriteria-kriteria selain daripada bantuan belajar lain.

“Lebih mengujakan apabila pelajar dapat tajaan penempatan daripada Al Kauthar Eduqids yang mana mereka sudah ada tempat kerja selepas tamat belajar nanti,” katanya.

Inisiatif tajaan tersebut membuka peluang kepada pelajar daripada pelbagai latar belakang untuk mengejar cita-cita tanpa dibelenggu kekangan kos pengajian.