"Arwah memang sangat berdedikasi dalam menjalankan amanah terutama dalam bidang Teknologi Dron dan STEM Education. Satu kehilangan besar untuk kita."
"Salam takziah kepada keluarga arwah. Semoga tabah dengan kehilangan yang sangat mengejut secara tiba-tiba. Semoga arwah ditempatkan bersama orang yang beriman dan beramal soleh. Aamiin Ya Mujib."
"Kadet Bomba kehilangan seorang guru kadet yang komited. Salam takziah buat keluarga arwah. Semoga rohnya dicucuri rahmat."
"Pemergian yang dirasai seluruh komuniti."
Demikian antara ucapan takziah yang dizahirkan warga maya susulan pemergian Guru Akademik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Lintang, Kuching, Sarawak, Cikgu Hasnol Alen pada 25 Jun (Rabu) lalu.
Berita duka itu dikongsi oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak menerusi satu hantaran di Facebook rasmi mereka, sehari selepas pemergian Allahyarham.
"Jabatan kehilangan seorang guru yang berdedikasi dalam melaksanakan tugasan dan amanah dalam meningkatkan martabat pendidikan.
"Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
"Kami juga mendoakan agar seluruh ahli keluarga diberikan kesabaran, ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi saat-saat sukar ini. Al-Fatihah," catatnya.
Sinar Bestari turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga arwah. Semoga mereka terus tabah menghadapi kehilangan insan tersayang yang pastinya tiada ganti.
Sesungguhnya, pemergian Cikgu Hasnol akan terus dikenang sebagai satu kehilangan besar dalam dunia pendidikan tanah air.