Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap insiden buli yang didakwa berlaku terhadap seorang pelajar dan dilaporkan meninggal dunia.
Asyraf menerusi satu hantaran di laman sosial Facebook melahirkan rasa sedih terhadap kejadian yang dilaporkan berlaku di sebuah sekolah di Sabah.
"Sedih pagi-pagi baca berita mengenai mangsa di sebuah sekolah di Sabah. Kena ambil tindakan tegas terhadap pihak yang melakukannya.
"Semua pihak wajib ambil peduli isu buli dan tangani secara holistik," katanya dalam hantaran itu pada Khamis.
Sebelum itu, tular di media sosial, seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah agama di Papar meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga di sekolah tersebut yang dipercayai berlaku pada Rabu lalu.
Pelajar itu meninggal dunia pada malam Khamis ketika sedang menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1), di sini.