Lebih 170 murid sekolah rendah dari prasekolah hingga Tahun Enam telah menunjukkan bakat dan imaginasi luar biasa mereka menerusi pertandingan seni Chief Experience Officer (CEO) Art Challenge anjuran Resorts World Genting (RWG).
Pertandingan yang berlangsung dari 18 Jun hingga 2 Julai 2025 itu merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Genting Bersama Malaysia dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Layang.
Program tersebut memberi peluang kepada murid-murid untuk mengekspresikan impian mereka tentang percutian keluarga di RWG melalui karya seni yang penuh warna dan makna.
Menurut Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam, RWG, Spencer Lee, CEO Art Challenge adalah platform tepat untuk kanak-kanak berani bermimpi, bebas mengekspresikan diri dan yakin terhadap kekuatan idea mereka.
"Setiap lukisan yang dihasilkan mencerminkan aspirasi anak-anak menerusi perspektif kesejahteraan dan kebersamaan," katanya.
Sementara itu, majlis penyampaian hadiah yang berlangsung pada Rabu di SK Sri Layang menyaksikan 21 murid dipilih sebagai pemenang merangkumi 18 orang kategori Tahun 1 hingga Tahun 6 dan tiga lagi prasekolah.
Mereka menerima hadiah berupa tiket masuk ke Taman Tema Tertutup Skytropolis, set permainan, sijil penyertaan dan boneka (pemenang prasekolah).
Menariknya, semua hasil karya para peserta akan dipamerkan dalam satu pameran khas di RWG sebagai memberi peluang kepada orang ramai untuk menghargai bakat cilik dan menjadikan impian mereka satu inspirasi buat komuniti.
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan Genting Malaysia untuk mengeratkan hubungan penuh makna bersama komuniti setempat melalui pemerkasaan seni dan pendidikan ke arah masa depan yang lebih kreatif dan penuh inspirasi.