Buli bukan lagi cerita terpencil. Apabila seorang pelajar perempuan diikat tangan dan kaki dalam tandas sebuah sekolah di Sungai Petani, Kedah kita pun mula berkumpul di ruang komen dengan reaksi marah, simpati dan terkejut.
Beberapa hari kemudian, semuanya kembali seperti sediakala. Begitulah kitarannya tahun demi tahun.
Satu persamaan yang konsisten ialah tindakan hanya muncul setelah video tular, setelah ibu bapa bersuara dan setelah media membuat liputan.
Waktu itu barulah kita sibuk menyusun jawatankuasa, bercakap soal siasatan dalaman dan menghantar pelajar ke kaunseling. Tapi sampai bila kita mahu bertindak selepas, bukan sebelum?
Di Korea Selatan, isu buli dianggap sebagai kegagalan institusi, bukan sekadar kenakalan pelajar. Sekolah yang gagal mencegahnya boleh dikenakan tindakan.
Pelajar pembuli diwajibkan mengikuti program intervensi psikologi dan ibu bapa turut dipanggil menyertai usaha pemulihan sahsiah.
Sistem mereka menyentuh sehingga ke akar umbi iaitu pelaku, mangsa, keluarga dan sekolah.
Jepun pula melangkah lebih jauh dengan mewajibkan setiap sekolah menerbitkan laporan insiden buli secara tahunan.
Ketelusan sebegini meletakkan tekanan sihat kepada pentadbiran sekolah agar tidak memandang remeh perkara yang tampak 'kecil'.
Di sana, budaya malu dimanfaatkan untuk menundukkan ego institusi.
Malaysia bagaimana? Kita ada pekeliling, garis panduan, akta perlindungan kanak-kanak. Semuanya tampak lengkap di atas kertas.
Tapi selagi ia tidak disertai keberanian untuk melaksana dan memperbaiki secara menyeluruh, selagi itu mangsa akan terus bertambah dan penyesalan hanya datang selepas skrin telefon mula memainkan video yang tak sanggup ditonton.
Sebenarnya, dasar kita tidak kurang. Apa yang lebih diperlukan ialah keberanian kolektif untuk mengakui bahawa sistem sedia ada masih banyak ruang untuk diperbaiki.
Pendekatan Korea dan Jepun seharusnya dijadikan rujukan yang lebih konkrit bukan sekadar disebut dalam laporan atau wacana umum, tetapi diterjemah dalam tindakan menyeluruh.
Jika tidak, lebih baik kita terus diam dan biarkan buli menjadi budaya. Kerana itulah yang sedang berlaku secara diam-diam tetapi berterusan.
PENULIS: LIDAH PENGARANG