Pelajar di luar negara diharap kembali bangunkan Sabah-Hajiji

Iklan
Hajiji beramah mesra dengan pelajar yang menerima anugerah pada Majlis Anugerah Biasiswa Kecemerlangan Sabah di SICC, Kota Kinabalu.

Pelajar Sabah yang melanjutkan pengajian di luar negara diharap agar kembali dan berkhidmat menyumbang tenaga untuk pembangunan di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kepulangan pelajar yang mengikuti kursus dan bidang yang relevan dengan keperluan semasa di Sabah bukan sahaja mampu meningkatkan daya saing tenaga kerja tempatan, malah memberi kelebihan kepada negeri dari segi pembangunan pelbagai sektor.

Iklan
Iklan

"Ya, kita berharap demikian. Jika mereka mengambil bidang atau kursus yang relevan dengan perkembangan semasa, ia akan memberi peluang kepada mereka untuk lebih mudah mendapat pekerjaan.

"Kita mahu mereka balik ke negeri Sabah untuk berkhidmat kepada negeri dan juga masyarakat. Banyak sektor yang boleh mereka ceburi, sama ada dalam kerajaan mahupun sektor swasta," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Biasiswa Kecemerlangan Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, pada Isnin.

Iklan

Hajiji bersama pelajar yang menerima anugerah pada Majlis Anugerah Biasiswa Kecemerlangan Sabah di SICC, Kota Kinabalu.

Mengulas mengenai anugerah kecemerlangan tersebut Hajiji berkata, ia diberikan kepada pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta peperiksaan agama, sebagai tanda penghargaan dan galakan terhadap pencapaian mereka.

Iklan

Tegasnya, kerajaan negeri sentiasa memberi keutamaan kepada pembangunan modal insan sebagai salah satu teras utama dalam dasar pembangunan negeri.

"Kita amat berbangga kerana usaha kita untuk memastikan bidang pendidikan ini diberi keutamaan bukan sahaja di kalangan rakyat, tetapi sudah menjadi dasar kerajaan.

“Dalam hala tuju saya, pembangunan modal insan adalah keutamaan. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita melihat hasilnya apabila usaha membantu pelajar bukan sahaja yang cemerlang, tetapi juga mereka yang memerlukan, mula menunjukkan kejayaan,” ujarnya.