Etika kerja di Universiti Awam: Amanah dunia, bekal akhirat

Iklan
Kepimpinan yang gagal menunjukkan teladan baik menyebabkan nilai-nilai murni dalam organisasi mula luntur. (Foto: Canva). Gambar kecil: Dari atas Noriah dan Intan Syazlina.

Dalam ekosistem sektor awam, khususnya di institusi pengajian tinggi seperti Universiti Awam (UA), etika kerja bukan sekadar urusan duniawi tetapi juga mencerminkan nilai seorang Muslim yang benar.

Ia adalah amanah besar yang terpikul di bahu setiap penjawat awam yang kelak akan dipersoalkan di hadapan ALLAH SWT.

Iklan
Iklan

ALLAH SWT berfirman:

"Sesungguhnya ALLAH menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya..." - (Surah An-Nisa’, ayat 58)

Iklan

Ayat ini memperkukuh bahawa setiap tugas dan tanggungjawab diberikan kepada kita adalah amanah yang perlu dilaksanakan dengan jujur dan adil.

Ponteng kerja dan sikap sambil lewa: Mengkhianati amanah

Iklan

Dapatan kajian ke atas 20 UA mendapati isu kehadiran tidak konsisten, sikap sambil lewa dan budaya 'mengular' di tempat kerja masih menjadi barah senyap dalam perkhidmatan.

Sebanyak 23 peratus responden mengaitkan kelemahan kepimpinan dan pengurusan sebagai punca utama manakala 22 peratus lagi menyatakan masalah sikap pekerja sebagai penghalang kepada budaya kerja cemerlang.

Nabi Muhammad SAW bersabda:

"Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya..." - (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa setiap individu sama ada di peringkat pengurusan atau pelaksana, memikul amanah dan akan diminta pertanggungjawaban kelak.

Pemimpin beretika cermin organisasi

Kepimpinan yang gagal menunjukkan teladan baik menyebabkan nilai-nilai murni dalam organisasi mula luntur.

Sebaliknya, pemimpin yang ikhlas, amanah dan adil menjadi sumber inspirasi kepada seluruh warga kerja.

Firman ALLAH:

"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi ALLAH bahawa kamu mengatakan apa yang tidak kamu lakukan". - (Surah As-Saff, ayat 2-3)

Ini adalah peringatan kepada pemimpin agar tidak menjadi pencetus kepada budaya hipokrasi dalam organisasi.

Lima langkah memperkukuh budaya etika

1) Penguatkuasaan Tegas - Hukuman terhadap ponteng kerja, salah guna masa pejabat dan ketidakpatuhan SOP mesti dilaksanakan adil dan berkesan.

2) Latihan Etika Berstruktur - Program kesedaran perlu terus dijalankan bagi menyuburkan kefahaman dan amalan nilai Islam dalam tugas.

3) Kempen dan Dialog Dalaman - Sesi perkongsian yang menyuntik kesedaran dan nilai rohani harus menjadi budaya kerja tetap.

4) Ganjaran Positif - Islam sendiri mengiktiraf ganjaran kepada yang berbuat baik.

Sabda Nabi SAW:

"Sesungguhnya ALLAH menyukai apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu pekerjaan, dia melakukannya dengan itqan (sebaik mungkin)." - (Riwayat al-Tabarani)

5) Pembangunan Kepimpinan Etika - Kepimpinan etika mesti digilap dan dipertingkatkan melalui latihan dan pemilihan yang telus.

Etika kerja: Jalan menuju reda ilahi

Etika kerja bukan sekadar slogan tetapi satu ibadah jika dilaksanakan dengan niat yang betul dan penuh keikhlasan.

Malangnya, sesetengah kita lupa bahawa kerja kita bukan hanya untuk bos atau organisasi, tetapi untuk ALLAH yang Maha Melihat.

Rasulullah SAW bersabda:

"Sesungguhnya ALLAH tidak melihat kepada rupa paras kamu, tetapi Dia melihat kepada hati dan amalan kamu." - (Riwayat Muslim)

Maka, integriti, disiplin dan kejujuran dalam pekerjaan adalah cerminan hati yang bersih dan iman yang kukuh.

UA sebagai model nilai murni

Sebagai institusi ilmu, UA sewajarnya menjadi contoh utama dalam membudayakan nilai etika dan integriti.

Pencapaian akademik dan kedudukan dalam ranking dunia tidak akan bermakna tanpa jiwa yang bersih dan amanah dalam setiap tindakan.

Kejayaan sesebuah universiti bukan hanya pada penerbitan ilmiah, tetapi juga sejauh mana warga kerjanya menjunjung nilai yang selari dengan syariat.

Amanah kerja, amanah akhirat

Sesungguhnya memperkukuh etika kerja bukanlah tugas Unit Integriti semata-mata, tetapi tanggungjawab bersama.

Sebagai penjawat awam dan umat Islam, kita memikul amanah dua dunia - menyampaikan khidmat kepada rakyat dan meraih keredaan ALLAH.

Marilah kita semua menyahut seruan ALLAH dan Rasul-Nya, agar pekerjaan kita menjadi jalan menuju syurga, bukan beban di akhirat kelak.

"Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramallah kamu! Maka ALLAH akan melihat amalan kamu, dan begitu juga Rasul-Nya serta orang-orang beriman." - (Surah At-Taubah, ayat 105)

Maklumat penulis:

1) Pengarah Pentadbiran Strategik dan Sumber Manusia, Jabatan Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Noriah Mohamed Ali, CHRM, MMIHRM

2) Penolong Pendaftar Kanan, Fakulti Undang-Undang, UiTM, Intan Syazlina Mohd Ali, CHRM, MMIHRM

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my