Universiti Awam (UA) di Malaysia sentiasa menjalin kerjasama strategik bersama pemain industri utama, baik di peringkat nasional mahupun antarabangsa.
Malah, kolaborasi erat antara industri dan universiti merupakan tunjang utama pendidikan tinggi negara selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015–2025 yang sedang berjalan khususnya Lonjakan ke-7: Ekosistem Inovasi.
Kesinambungan usaha ini dapat dilihat dengan lebih jelas dalam konteks universiti teknikal di bawah Malaysian Technical University Network (MTUN) yang berteraskan kejuruteraan dan TVET di mana hubungan langsung dengan industri menjadi faktor penentu dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, berdaya saing dan memenuhi keperluan semasa negara.
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sendiri memperlihatkan kekuatan jelas dalam hal ini melalui jaringan kerjasama industri yang kukuh dan berimpak tinggi.
Sehingga kini, UniMAP telah menandatangani lebih 220 Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) selain melaksanakan lebih 1,000 projek penyelidikan bersama industri dengan syarikat ternama seperti AT&S, Infineon, Silterra, Micron dan pelbagai lagi. Kerjasama ini turut diterjemahkan dalam bentuk penggubalan kurikulum yang dilaksanakan bersama Industrial Advisory Panel (IAP) termasuk pelaksanaan projek tahun akhir dan Capstone Project bersama industri khususnya dalam bidang teknologi masa hadapan seperti kecerdasan buatan (AI).
Hubungan erat UniMAP dengan industri semikonduktor dapat dilihat melalui penempatan pelajar di syarikat utama seperti SkyeChip, Intel dan Oppstar selain peluang latihan industri global di bawah program UniMAP@3i bersama syarikat antarabangsa seperti Nihon Superior dari Jepun dan Turkish Aerospace Industries (TUSAS) dari Turkiye.
Malah, UniMAP turut mempunyai 12 makmal industri dan kilang mengajar di bawah Pusat TVET (Industry on Campus) dengan penawaran persijilan profesional daripada industri antarabangsa ternama seperti Siemens, Huawei dan Keysight.
Selain itu, di UniMAP kita ada 16 Pusat Kecemerlangan (CoE) yang menjadi pemacu utama dalam menjalankan penyelidikan bersama industri.
Antara contoh kejayaan signifikan termasuk kolaborasi dengan Oppstar Technology dalam bidang reka bentuk cip selaras dengan hasrat Rancangan Malaysia Ke-13 untuk melahirkan lebih ramai chipmakers tempatan di mana lebih 40 peratus jurutera IC di Oppstar adalah alumni UniMAP.
Penyelidikan lain yang dilaksanakan bersama industri turut meliputi pembangunan RISC board dengan Tenasic/StarFive Technology, projek FPGA bersama Altera serta kerjasama dengan Micron Technology dalam pengajian pascasiswazah khusus dalam pembangunan kurikulum teknologi memori dan advanced packaging.
Malahan, kolaborasi UniMAP merangkumi pelbagai sektor utama negara seperti:
1) E&E & Semikonduktor: Intel, Altera, Micron Technology, AT&S, Infineon, Silterra, Tenasic/StarFive, Oppstar, Inari, SkyeChip, Ibiden Electronic, Analog Devices, AMD.
2) Biomedical & Kesihatan: B.Braun, EdgentaMediserve, Teleflex (The Laryngeal Mask Company), Straits Orthopaedics, Leonix.
3) Pemprosesan Bahan & Makanan: Petronas, Schlumberger, Nihon Superior, CIMA, Shorubber, Easy Pack Machinery, Frutania, NT Rubber Seals.
4) Automotif, Mekanikal & Aeroangkasa: ViTroX, Modenas, Proton, ACM, MinebeaMitsumi, Turkish Aerospace Industries (TUSAS).
5) Alam Sekitar & Infrastruktur: CIDB, Indah Water Consortium, Green IBS, Environment Idaman.
6) Media & Komersil: KRU, Karangkraf, RTM, BERNAMA, Media Prima, Qatar Airways.
Kesemua hubungan ini membuktikan bahawa UniMAP bukan sahaja kekal relevan dengan industri malah menjadi antara peneraju utama dalam memperkasa jaringan strategik industri-akademia.
Kejayaan ini turut diterjemahkan melalui pencapaian UniMAP yang mencatatkan kadar kebolehpasaran graduan (GE) setinggi 98.9 peratus pada tahun 2024 serta pengiktirafan berprestij apabila universiti ini menerima Top MNC Preferred Graduate Award.
Universiti teknikal seperti UniMAP telah membuktikan peranan besarnya sebagai rakan strategik industri dan hab penghasilan bakat berkualiti tinggi seterusnya menyokong agenda pembangunan negara dan meningkatkan daya saing Malaysia di pentas global.
Maklumat penulis:
Naib Canselor UniMAP, Datuk Profesor Ts Dr Zaliman Sauli
Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my