Kehadiran dua ekor beruang matahari di sekitar kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Seberang Tayor, Kemaman, Terengganu pada Isnin menimbulkan kebimbangan dalam kalangan murid dan guru sekolah berkenaan.
Seorang petugas kebersihan, Azmi Yaakob, 52, berkata, kelibat haiwan liar itu mula dikesan di kawasan kebun dan tepi pagar sekolah kira-kira 8.30 pagi ketika murid-murid sedang sibuk menjalani latihan sukan di padang.
"Selepas melihat kelibat beruang, para guru terus mengarahkan murid-murid bersurai dan masuk ke kelas masing-masing. Agak lama juga beruang itu berlegar-legar di tepi pagar hingga kira-kira 11 pagi.
"Kemudian haiwan tersebut memanjat pagar dan masuk ke kawasan kebun di belakang sekolah sebelum menghilang ke belukar berhampiran," katanya.
Azmi berkata, walaupun bimbang keselamatan sendiri, dia tetap memberanikan diri mengawasi pergerakan beruang berkenaan demi keselamatan warga sekolah dengan haiwan itu mungkin datang mencari makanan di kawasan kebun sekolah yang mempunyai pokok rambutan, manggis dan cempedak.
"Ini kali pertama saya melihat beruang di depan mata dan saiznya agak besar. Pihak sekolah sudah membuat laporan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang telah datang membuat pemantauan di sekitar kawasan dan memasang perangkap," katanya.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya telah memasang dua perangkap di kawasan kampung berhampiran sekolah berkenaan sejak Mei.
"Selain itu, kawalan dan pemantauan berterusan di lokasi yang dikenal pasti turut dilaksanakan bagi mengesan dan menjaga keselamatan penduduk," katanya. - Bernama