Bermula sekadar minat melihat para peserta mendeklamasikan sajak dan puisi menerusi Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), siapa sangka bakat seorang pelajar akhirnya menyerlah sehingga bergelar johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Negeri Selangor 2025.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Sepang, Adziq Mursyid Azrin, 16, berkata, minatnya terhadap dunia sastera berputik sejak kecil kerana kagum melihat penyampaian penuh bersemangat dan berwibawa setiap kali deklamasi dipersembahkan.
“Saya minat tapi saya tidak didedahkan daripada awal. Walaupun agak lambat, sebab saya mula menyertai pertandingan sajak, puisi, bercerita dan menulis cerita pendek semasa Tingkatan 2. Inilah kemenangan tempat pertama yang saya tunggu-tunggu selama ini.
“Selepas menonton video daripada Gapena, semangat terus berkobar-kobar nak sertai sayembara,” katanya kepada Sinar Bestari selepas diumumkan sebagai juara Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Peringkat Negeri Selangor 2025.
Persembahan mantap dengan penghayatan mendalam serta penguasaan pentas yang menyerlah menjadikan Adziq Mursyid, 16, pilihan utama juri sekali gus menewaskan sembilan pesaingnya.
Anak kedua daripada lima beradik itu mengakui sokongan ibu bapa, guru dan rakan-rakan menjadi faktor utama berjuang mendeklamasikan puisi bertajuk Warisan Kebenaran hasil karya S M Noor.
Lebih mengujakan apabila Adziq Mursyid turut membawa pasukan sorak yang terdiri daripada rakanrakan dan guru bagi memeriahkan suasana pertandingan.
SEKOLAH YANG TERLIBAT
1. Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Gombak
2. Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 18, Shah Alam
3. SMK Shahbandaraya, Klang
4. SMK Munshi Abdullah, Sabak Bernam
5. SMK Saujana Utama,Sungai Buloh
6. SMK Seri Sepang
7. SMK Taman Melawati, Gombak
8. SMK Puncak Alam 3, Selangor
9. Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor
10. Sekolah Agama Menengah Tinggi (SAMT) Tengku Ampuan Rahimah, Banting