SMK Subang Jaya juara kawad kaki Karnival Siang Malam

Iklan
Pasukan Kadet Polis SMK Subang Jaya muncul juara pertandingan kawad kaki Karnival Siang Malam 2025.

Pasukan Kadet Polis Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Subang Jaya, Selangor melakar kejayaan membanggakan apabila muncul juara pertandingan kawad kaki sempena Karnival Siang Malam 2025 di Kompleks Karangkraf pada Jumaat.

Kejayaan itu hasil disiplin tinggi dan semangat juang pasukan yang hanya sempat menjalani latihan intensif selama dua minggu, kata jurulatihnya, Mohd Izz Aniq Zakaria.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pendekatan mesra tanpa tekanan menjadi kunci kekuatan pasukan yang turut mengekalkan rekod cemerlang dengan menjuarai pertandingan peringkat negeri anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selama dua tahun berturut-turut.

Mohd Izz Aniq

Iklan

"Saya anggap mereka seperti anak sendiri. Matlamatnya bukan sekadar menang, tetapi membina keyakinan dan disiplin. Alhamdulillah tanpa marah dan denda, mereka sangat dedikasi.

"Doakan kami untuk berjaya juga di peringkat kebangsaan pada minggu hadapan. Latihan dijalankan setiap hari tanpa menjejaskan jadual akademik pelajar. Walaupun singkat, disiplin tinggi dan komitmen pasukan menjadi kunci kejayaan kami," katanya.

Iklan

Nur Arifah dinobatkan sebagai Ketua Platun Terbaik pertandingan kawad kaki Karnival Siang Malam yang berlangsung di Kompleks Karangkraf, Shah Alam pada Jumaat.

Naib johan dimenangi pasukan Kadet Polis SMK Pandan Indah manakala tempat ketiga diraih Kadet Polis SMK Rantau Panjang, Klang.

Sebanyak 11 sekolah menyertai pertandingan yang dinilai oleh pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Pelajar Tingkatan Tiga SMK Subang Jaya, Nur Arifah Joha turut dinobatkan sebagai Ketua Platun Terbaik dan menyifatkan pencapaian itu sebagai pengalaman berharga buat dirinya.

Sharol Niza

"Jujurnya memang saya agak risau kerana tengok penyertaan sekolah lain hebat. Saya nekad sahaja untuk melakukan yang terbaik demi sekolah.

"Ini kali pertama penglibatan saya dengan kawad kaki. Insya-ALLAH saya akan cuba buat lagi terbaik untuk minggu hadapan," ujarnya.

Sementara itu, Guru Pengiring SMK Rantau Panjang, Sharol Niza Azmi berkata, pertandingan seumpama itu penting dalam membentuk keyakinan, disiplin dan semangat kerjasama dalam kalangan pelajar.

"Kawad kaki bukan hanya tentang pergerakan seragam, tetapi bagaimana pelajar belajar menghormati masa, arahan dan bekerja dalam satu pasukan.

"Ia mendidik mereka menjadi lebih berdisiplin dan yakin dengan diri sendiri. Walaupun sekolah kami mendapat tempat ketiga, ia berbaloi," katanya.

Andika

Ketua juri pertandingan, Andika daripada JBPM pula memuji komitmen dan kesungguhan pelajar yang beraksi dengan persembahan bertenaga serta rapi, walaupun terdapat beberapa pasukan yang kelihatan gugup.

"Pertandingan sebegini bukan sahaja menguji kemahiran kawad, tetapi juga membina keyakinan diri serta semangat berpasukan dalam kalangan pelajar.

"Kepada pasukan yang belum berjaya, jangan putus asa. Terus berlatih dan sertai lagi pertandingan-pertandingan seperti ini kerana ia peluang berharga untuk mengasah bakat dan membina keyakinan," katanya.

Sebanyak 11 sekolah menyertai pertandingan kawad kaki sempena Karnival Siang Malam 2025 di Kompleks Karangkraf, Shah Alam pada Jumaat.

Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 berlangsung selama tiga hari dari jam 9 pagi hingga 12 malam, menyajikan pelbagai program dan aktiviti menarik kepada orang ramai seperti rumah hantu, go-kart, Pasar Saloma, pertandingan melibatkan pelajar sekolah dan jualan buku yang menawarkan promosi menarik.