Aswara serlah warisan seni di pentas Karangkraf

Iklan
Che Mohd Nasir sebagai Tok Dalang membuat persembahan wayang kulit yang berjaya menarik perhatian pengunjung termasuk kanak-kanak di di Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 pada Ahad.

Persembahan tradisional dan moden daripada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) menjadi antara acara yang mencuri tumpuan di pentas utama pada hari terakhir berlangsungnya Karnival Siang Malam Karangkraf 2025 pada Ahad.

Bermula dengan persembahan wayang kulit, bunyi alat muzik dengan irama tradisional yang mengiringi bayang-bayang watak dalam penceritaan Tok Dalang berjaya menarik perhatian pengunjung termasuk kanak-kanak.

Iklan
Iklan

Persembahan selama kira-kira setengah jam itu turut menyaksikan gelagat pengunjung yang tidak kering gusi kerana terhibur dengan jalan cerita yang dipersembahkan.

Adiguru wayang kulit Aswara, Che Mohd Nasir Yusoff berkata, peluang membuat persembahan dalam acara besar yang menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat itu menjadi platform untuk memberi pendedahan kepada orang ramai agar mencintai seni budaya warisan negara.

Iklan

Menurutnya, jalan cerita yang selari dengan sistem beraja di Malaysia juga bertujuan menerapkan nilai-nilai agar sistem itu terus dipelihara.

Alat muzik dengan irama tradisional mengiringi bayang-bayang watak dalam penceritaan Tok Dalang.

Iklan

"Kita juga nak masyarakat faham tentang budaya...karnival ini bagus...keluarga boleh bawa anak-anak. Mereka dahagakan persembahan dan pendedahan sebegini.

"Tak kenal maka tak cinta. Kalau tak faham, tak akan minat. Kalau budak (kanak-kanak) tak faham, mereka tak akan ketawa," Katanya pada Ahad.

Tambah beliau yang mesra dengan panggilan Pak Nasir, persembahan wayang kulit turut menjadi platform untuk beliau menyampaikan nasihat dan motivasi kepada masyarakat.

"Sebab itu dalam setiap cerita yang kita sampaikan, ada selingan nasihat yang sesuai untuk semua peringkat umur," katanya.

Selain wayang kulit, pengunjung turut disajikan dengan persembahan daripada kumpulan Good Sign iaitu kumpulan buskers terdiri daripada pelajar-pelajar dari Fakulti Muzik Aswara.

Izzi Darmaya selaku vokalis kumpulan menyanyikan pelbagai lagu popular, diiringi muzik yang dimainkan secara langsung oleh ahli-ahli lain.

Persembahan terbuka berkenaan menjadi sebahagian daripada usaha Aswara dalam memberi pendedahan lebih luas kepada para pelajarnya.

WARTAWAN: NURHIDAYAH HAIROM