Malaysia hanya mampu melahirkan kira-kira 6,000 jurutera setahun iaitu jauh lebih rendah berbanding keperluan semasa sebanyak 60,000 jurutera.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, jurang besar itu perlu ditangani segera dengan mewujudkan laluan pantas melibatkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 5 iaitu setaraf diploma untuk diserap ke universiti teknikal bagi dinaik taraf sebagai jurutera.
"Bagi jangka pendek dan sederhana, kita akan tawarkan laluan kepada pekerja mahir ini ke universiti dalam rangkaian Malaysian Technical University Network (MTUN), ” katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Management and Science University (MSU) di Dewan Canselor MSU Shah Alam di sini pada Rabu.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, laluan itu melibatkan proses 'upskilling' dengan tempoh tambahan pengajian antara satu hingga dua tahun di MTUN sebelum dianugerahkan ijazah kejuruteraan.
Katanya, melalui kerjasama antara Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Kemahiran Malaysia (JKM), proses pemindahan kredit akan diselaraskan bagi mengiktiraf latihan awal yang diperoleh melalui institusi TVET.
"Bagi pemegang SKM Tahap 5, mereka hanya perlu lalui tiga atau empat semester di MTUN. Ini bukan jalan pintas yang menjejaskan kualiti, tetapi laluan efektif hasil penyelarasan MQA dan JKM,” jelas beliau.
Ahmad Zahid turut mengakui, secara atas kertas, tempoh untuk memenuhi keperluan 60,000 jurutera mungkin memakan masa sehingga 10 tahun, namun kerajaan memilih untuk mengambil jalan singkat yang tidak menjejaskan standard profesional.
"Ini bukan soal kuantiti semata-mata, tapi kita juga pentingkan kualiti, namun laluan pantas ini akan percepatkan penghasilan jurutera tanpa mengorbankan mutu,” kata beliau.
Terdahulu semasa dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata, negara memerlukan kira-kira 60,000 jurutera tahun ini bagi memenuhi permintaan pelabur asing, namun keupayaan sistem akademik sedia ada untuk menampung keperluan itu dilihat terhad.
Ujar beliau, pendidikan akademik sahaja tidak mampu membekalkan jumlah tenaga profesional yang mencukupi dalam tempoh singkat.
Sehubungan itu, katanya, pendekatan melalui TVET perlu diperkasa sebagai penyelesaian strategik negara.
Menurut Ahmad Zahid, pelaburan langsung asing (FDI) yang masuk ke Malaysia menuntut kehadiran tenaga mahir dalam jumlah besar terutama dalam sektor kejuruteraan dan teknologi.
“Kalau kita nak terus bersaing dan kekal menarik kepada pelabur, kita kena sediakan tenaga kerja yang mencukupi, berkualiti dan bersedia bekerja," jelas beliau.
Ahmad Zahid (depan empat dari kanan) bergambar bersama-sama pengurusan dan penuntut semasa Majlis Pelancaran Program TVET MSU di Dewan Canselor MSU Shah Alam di sini pada Rabu.