Management and Science University (MSU) terus melangkah ke hadapan dalam usahanya memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia.
Dengan visi menjadi institusi yang bukan sahaja unggul dari segi akademik, malah relevan dalam memenuhi keperluan industri semasa, MSU kini giat mempelbagaikan pendekatan pendidikan TVET.
Ia termasuk melalui kerjasama strategik bersama rakan industri dan penawaran program-program kemahiran yang bersifat hands-on serta berimpak tinggi.
Pelancaran program TVET di MSU dirangka untuk menjadi platform inklusif yang menghubungkan pelajar, komuniti, industri dan pembuat dasar dalam ekosistem pendidikan tinggi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melancarkan program berkenaan di kampus induk Shah Alam dan turut dihadiri oleh Naib Canselor MSU, Profesor Puan Sri Datuk Dr Junainah Abd Hamid serta Presiden dan Pengasas MSU, Profesor Tan Sri Datuk Wira Dr Mohd Shukri Ab Yajid.
MSU mengumumkan pelancaran empat program TVET yang direka khusus untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap profesional seni kulinari, pengurusan hotel, siber sekuriti dan pembangunan mainan.
Pada masa sama, MSU turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) dan memorandum perjanjian (MoA) bersama 58 rakan industri lain.
Ia bertujuan menjamin peluang pekerjaan bagi pelajar-pelajar selain kerjasama khususnya dalam aspek pertukaran kakitangan, perkongsian kepakaran, pembangunan dan penyelidikan serta latihan industri.