Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM67 bilion bagi sektor pendidikan menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), antaranya bagi pembinaan sekolah baharu, membaik pulih dan menaik taraf bangunan sekolah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu turut melibatkan pembangunan Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), serta penambahbaikan fasiliti dan kemudahan di institusi pendidikan tinggi awam.
“Pembinaan sekolah juga akan dijadikan syarat Kebenaran Merancang bagi projek perumahan berskala besar yang baharu.
“Selain itu, pembinaan sekolah vertikal akan diperluaskan bagi menangani isu kepadatan pelajar dan ketiadaan tapak sekolah yang bersesuaian,” katanya ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat pada Khamis.
Sebagai rekod, Anwar memaklumkan bahawa kerajaan telah menaik taraf sebanyak 1,200 sekolah daif di seluruh negara sehingga tahun 2025.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha berterusan akan dilakukan untuk memastikan akses pendidikan yang menyeluruh dan berkualiti.
“Kerajaan tekad memastikan kadar enrolmen murid prasekolah dan menengah mencapai 98 peratus, iaitu melebihi kadar enrolmen sejagat,” jelas beliau.