Kerajaan akan memperluas fasiliti dan kapasiti pendidikan khas kepada golongan orang kurang upaya (OKU) di seluruh negara menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia melibatkan projek pembinaan blok Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di 34 buah sekolah sedia ada seluruh Malaysia.
Selain itu menurutnya, pembinaan sekolah baharu yang dilengkapi dengan kemudahan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) juga akan diteruskan.
"Kerajaan cakna kepada keperluan pendidikan untuk golongan OKU dan sehingga Jun 2025, hampir 171,000 kanak-kanak OKU direkodkan mempunyai masalah dalam pembelajaran, termasuk kanak-kanak autisme.
"Untuk meningkatkan penyertaan warga emas, Orang Asli dan OKU dalam pasaran kerja, sokongan dan latihan yang mencukupi akan diberikan melalui program Akademi Dalam Industri (ADI), Pelan Tindakan OKU Kebangsaan dan insentif kepada majikan," katanya ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat pada Khamis.
Dalam pada itu beliau memaklumkan, kerajaan akan memperkasa sektor ketiga bagi membolehkan ia bergerak bersama-sama untuk memberdayakan golongan sasar dan rentan.
Menurutnya, sektor berkenaan mampu menyediakan peluang keusahawanan, pekerjaan serta latihan kemahiran yang lebih inklusif dan bersifat setempat.
"Dalam hubungan ini, daya tahan sektor ketiga akan diperkukuh melalui penyediaan latihan dan khidmat nasihat.
"Sumber pembiayaan alternatif kepada sektor ini juga akan diperluas melalui sukuk sosial, dana wakaf, zakat, 'crowdfunding' serta pembiayaan campuran termasuk penglibatan GLC (syarikat berkaitan kerajaan), GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan) dan swasta serta pengukuhan gerakan koperasi," jelasnya.