Dalam dunia pendidikan, tugas guru bukan sekadar menyampaikan ilmu, malah menjadi benteng nilai dan sahsiah kepada anak-anak bangsa. Itulah yang cuba dilaksanakan oleh Cikgu Wan Anwar, seorang guru ganti yang telah berkhidmat selama lebih empat tahun dalam bidang Pendidikan Jasmani dan Kesihatan.
Baru-baru ini, nama beliau tular selepas dipercayai menjadi mangsa serangan fizikal oleh seorang pelajar ketika cuba membantu rakan sejawat yang dimarahi.
Kejadian ini nyata menyentuh hati warga pendidik dan masyarakat umum. Namun yang lebih menyentuh perasaan ialah bagaimana keluarga Cikgu Wan Anwar, khususnya abangnya menyuarakan harapan agar pelajar itu tetap diberikan ruang untuk berubah dan menjadi insan berguna.
Menurut abang beliau, meskipun kejadian itu menyakitkan, mereka memilih jalan yang lebih tenang dengan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa sekali gus mendoakan agar pelajar tersebut insaf dan diberikan didikan yang sesuai.
Cikgu Wan Anwar bukanlah calang-calang individu. Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani dari Universiti Putra Malaysia (UPM), bekas atlet boling negeri Johor serta pernah mewakili SUKMA dan MSSM. Malah, beliau juga bekas pelajar Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) membuktikan bahawa disiplin dan dedikasi adalah asas utama dalam hidupnya.
Walaupun hanya berstatus guru ganti, semangat dan iltizam yang ditunjukkan Cikgu Wan Anwar menggambarkan betapa besarnya jiwa seorang pendidik. Dalam situasi yang mencabar, beliau tetap tenang dan berpegang kepada prinsip untuk membantu, bukan menjatuhkan.
Sokongan moral daripada keluarga dan rakan-rakan jelas menjadi pemangkin semangat untuk beliau terus maju dan meneruskan impian menjadi guru tetap satu hari nanti.
Sinar Bestari percaya, kisah seperti ini perlu diketengahkan sebagai inspirasi kepada warga pendidik lain, malah kepada seluruh masyarakat. Ia mengingatkan kita bahawa profesion guru bukan mudah tetapi semangat seperti yang ditunjukkan oleh Cikgu Wan Anwar patut dipuji dan dicontohi.
Kepada Cikgu Wan Anwar, teruskan melangkah dengan tabah. Dunia pendidikan memerlukan lebih ramai guru sepertimu!
Pengiktirafan warga maya
Sementara itu, menjengah di ruangan komen, warga maya yang mengikuti kisah Cikgu Wan Anwar bukan sahaja mengundang simpati, malah mencetuskan gelombang sokongan luar biasa daripada warganet.
Di platform Facebook, ratusan komen membanjiri ruangan siaran yang dimuat naik oleh abangnya, menunjukkan betapa masyarakat menghargai keperibadian dan profesionalisme beliau.
Antara komen yang mencuri perhatian termasuk gesaan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya segera menyerap beliau sebagai guru tetap atas dasar rekod cemerlang serta semangatnya yang luar biasa dalam mendidik anak bangsa.
Netizen menyifatkan Cikgu Wan Anwar sebagai seorang pendidik berdedikasi, tenang dalam menghadapi cabaran dan tetap menjaga integriti walaupun diuji dengan tindakan luar batas oleh pelajar.
Ada yang menekankan bahawa kejadian ini menunjukkan pentingnya melindungi guru dan memartabatkan profesion perguruan agar tidak dipandang ringan oleh pelajar mahupun masyarakat. Malah, latar belakang Cikgu Wan Anwar sebagai bekas atlet negeri turut dipuji kerana membuktikan bahawa beliau mempunyai nilai disiplin dan kesungguhan yang tinggi.
Terdapat juga komen yang menzahirkan penghargaan kepada beliau kerana masih mampu mendoakan kebaikan untuk pelajar terlibat, walaupun menjadi mangsa serangan. Sikap pemaaf dan penuh hikmah ini membuka mata ramai tentang kehebatan sebenar seorang guru.
Secara keseluruhan, sokongan padu daripada masyarakat menjadi satu manifestasi bahawa warga pendidik tidak bersendirian. Ia juga menjadi cerminan bahawa rakyat Malaysia menghargai jasa guru, lebih-lebih lagi mereka yang tetap teguh berdiri walau dicabar secara fizikal dan emosi.