Empat pelajar lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes pukul rakan sekelas di sebuah pusat beli-belah di Kajang, Selangor dibebaskan dengan jaminan polis pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, tempoh reman terhadap kesemua pelajar berusia 13 tahun itu tamat pada Sabtu dan disambung hingga esok, namun mereka dibebaskan selepas selesai proses dokumentasi dan siasatan.
"Setakat ini kita telah mengambil keterangan daripada sembilan individu termasuk empat pelajar terbabit," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Naazron berkata, siasatan awal mendapati punca kejadian disebabkan rakan sekelas mangsa yang tidak puas hati dengan cara berkomunikasi dan berinteraksi dengan mereka.
Pada Jumaat media melaporkan empat pelajar lelaki ditahan selepas mangsa yang juga pelajar Tingkatan Satu sebuah sekolah menengah di Kajang membuat laporan polis selepas dipukul rakan sekelas pada jam 11 pagi, 30 Julai lepas.
Susulan kejadian itu, mangsa telah mendapatkan rawatan di hospital berhampiran dan disahkan mengalami kecederaan ringan di muka.
Kes disiasat di bawah Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955. - Bernama