Pelajar Orang Asli raih 8A SPM, kejar impian jadi guru Bahasa Inggeris

Iklan
Nur Syafienaz (tengah) menunjukkan dokumen yang dibawa untuk mendaftarkan diri di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kota Bharu. Foto: Sinar Harian ADILA SHARINNI WAHID

Pelajar cemerlang Orang Asli dari Gua Musang sekali lagi mencipta sejarah apabila diterima masuk ke Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kota Bharu di bawah Program Persediaan Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PPISMP) bagi Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL).

Nur Syafienaz Nazri, 18, dari Kampung Lombok, Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis, yang berasal daripada suku kaum Temiar, merupakan pelajar Orang Asli pertama di Kelantan yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

Iklan
Iklan

Anak sulung daripada empat beradik itu mula menguasai bahasa Inggeris ketika di Tingkatan Empat selepas menyedari kepentingannya dalam pelajaran dan masa depan.

“Dari kecil saya memang minat bahasa Inggeris, tetapi tiada pendedahan langsung.

Iklan

“Tingkatan Empat saya mula fokus, bergelut pada mulanya dan belajar setiap hari melalui media sosial seperti TikTok, YouTube dan Google untuk mencari kosa kata, sebutan serta cara penggunaannya dalam ayat, selain mendapat bantuan guru.

“Alhamdulillah, usaha itu membuahkan hasil dan saya meraih 8A dalam SPM serta diterima ke IPG untuk menjadi guru Bahasa Inggeris, seperti yang saya impikan sejak dahulu,” katanya ketika ditemui pada Pendaftaran Pelajar IPG Kota Bharu 2025 di Pengkalan Chepa di sini pada Isnin.

Iklan

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panggung Jaya itu diiringi ibunya ke IPG Kota Bharu dan akan menetap di asrama bagi mengikuti program berkenaan.

“Ibu saya seorang tukang jahit dan mempunyai pendapatan tidak tetap, namun ramai pihak membantu saya menyambung pengajian termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli, badan bukan kerajaan dan kerajaan Kelantan.

“Semua itu menjadi motivasi untuk saya membalas jasa mereka,” katanya.

Bagi Nur Syafienaz, kejayaan ini bukan sekadar untuk dirinya, malah menjadi contoh terbaik buat komuniti sendiri.

“Saya mahu buktikan anak Orang Asli juga boleh berjaya jika berusaha dan misi saya ialah membantu anak-anak Orang Asli menguasai bahasa Inggeris.

“Malu biarlah kena pada tempatnya dan pendidikan boleh mengubah hidup kita 360 darjah,” katanya.

Sementara itu, ibunya, Siti Nor Syakila Kamarzaman, 36, suku kaum Semai dari Perak, berkata, beliau bersyukur anak sulungnya menjadi kebanggaan keluarga dan komuniti.

“Dari kecil lagi dia rajin belajar walaupun hidup kami serba sederhana.

“Harapan saya agar dia dapat menamatkan pengajian dan menjadi guru yang memberi inspirasi kepada ramai anak Orang Asli,” katanya.

Setiap pelajar akan menerima biasiswa tajaan Kementerian Pendidikan (KPM) berjumlah RM430 sebulan, dan seterusnya RM530 sebulan untuk peringkat ijazah kelak.

Pengarah IPG Kampus Kota Bharu, Dr Narita Mohd Noor berkata, pengambilan baharu kali ini melibatkan seramai 529 pelajar termasuk 29 dari Sabah dan Sarawak.

Menurutnya, ini adalah kali pertama pihaknya menerima pelajar Orang Asli bagi PPISMP TESL.

“Kebiasaannya pelajar Orang Asli memilih kursus bahasa Melayu, jadi pemilihan dan penerimaan Nur Syafienaz untuk Bahasa Inggeris ini dianggap luar biasa.

“Dia pelajar yang sangat komited dan saya percaya akan terus cemerlang,” katanya.