"Jaga hafalan, kena mengulang sentiasa…tak boleh tinggal walau sehari. Persediaan bukan sekejap, ia bermula daripada awal."
Kongsi pelajar Program Asasi Sains, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Putri Auni Khadijah Mohd Hanif, 18, yang mengharumkan nama negara apabila meraih tempat kedua kategori Hafazan (Hafizah) dalam Majlis Tilawah & Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Kali ke-65 1447H/2025 baru-baru ini.
Dalam pertandingan penuh berprestij itu, Putri Auni Khadijah mencatat markah 96.75 peratus manakala peserta dari Syria, Tasneem Arian Omar, dinobatkan sebagai johan dengan 97.50 peratus dan Najway Ali Zaydan Alkourbu (Libya) di tempat ketiga dengan 95.51 peratus.
Anak kelahiran Kelantan ini yang merupakan bekas pelajar Maahad Tahfiz Abu Bakar, Tanah Merah turut meluahkan rasa syukur atas pencapaian tersebut.
"Sebenarnya saya memang sasarkan untuk berada dalam tiga terbaik, cuma tak pasti di kedudukan mana. Alhamdulillah, ALLAH izinkan saya capai tempat kedua," katanya penuh rendah hati.
Bercerita tentang impian masa depannya, gadis berjiwa besar ini berharap dapat sekali lagi membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa.
"Saya ingin mewakili Malaysia di pertandingan hafazan luar negara seperti Dubai dan Jordan. Insya-ALLAH, saya akan berusaha sebaik mungkin," katanya menerusi petikan video yang dimuat naik di laman sosial.