Prasekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Ketereh bakal mewakili Kelantan ke pertandingan digital peringkat kebangsaan, sekali gus mengangkat sekolah itu sebagai antara peneraju pendidikan digital awal kanak-kanak di negeri ini.
Guru Besar SK Seri Ketereh, Mohd Nawawi Kelasah berkata, pencalonan itu membuktikan sekolah di Kelantan juga mampu melahirkan murid berdaya saing dalam bidang inovasi teknologi seawal usia enam tahun.
"Prasekolah digital ini mempunyai kelas khas yang mendedahkan murid menggunakan peranti tablet untuk menghasilkan karya lukisan digital.
"Saya sendiri kagum melihat mereka boleh melukis menggunakan aplikasi digital pada usia yang begitu muda,” katanya selepas menghadiri Majlis Perasmian Sukan Tahunan ke-36 sekolah itu pada Khamis.
Majlis berkenaan disempurnakan Penasihat Bersama Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan turut dihadiri Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Seri Ketereh, Dr Mohd Nazrul Hisham Yusoff.
Menurut Mohd Nawawi, pencapaian digital sekolah itu tidak hanya terhad di prasekolah, bahkan murid Tahun Enam SK Seri Ketereh pernah menjuarai Pertandingan Dron anjuran Politeknik Kota Bharu tahun lalu, menewaskan peserta sekolah menengah dan institusi lain.
"Seorang murid muncul juara, manakala seorang lagi menerima hadiah saguhati. Itu antara pencapaian tertinggi sekolah setakat ini dalam bidang teknologi," katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Nawawi berkata, Sukan Tahunan ke-36 sekolah itu turut direalisasikan berasaskan dasar Satu Murid Satu Sukan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Katanya, semua 1,080 murid termasuk 65 murid Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) diwajibkan menyertai sekurang-kurangnya satu acara sukan, manakala mereka yang tidak dapat beraksi atas faktor kesihatan tetap mengambil bahagian menerusi perbarisan atau pasukan sorak.
"Lebih 20 acara dipertandingkan termasuk acara balapan dengan penglibatan murid Tahun 1 hingga Tahun 6 serta 50 murid prasekolah. Malah murid PPKI juga mengadakan acara khas dan menyumbang mata kepada rumah sukan masing-masing," katanya.
Beliau menambah, penekanan terhadap penglibatan sukan dan aktiviti kokurikulum mampu membentuk sahsiah murid, seiring amalan harian sekolah yang bermula dengan bacaan hadis dan nasihat di perhimpunan, selain bacaan Yasin setiap Khamis.
"KPM kini mahu melahirkan murid cemerlang menyeluruh, bukan akademik semata-mata. Bahkan pencapaian dalam bidang sukan juga boleh menjana masa depan termasuk melalui e-sukan dan teknologi, bukan hanya di padang," katanya.
WARTAWAN: ADILA SHARINNI WAHID