Jalur Gemilang gergasi yang megah terbentang dari tingkat tiga bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pagi, Seremban, Negeri Sembilan bukan sekadar hiasan sempena sambutan Hari Kebangsaan tetapi juga menjadi simbol semangat patriotisme warga sekolah kepada tanah air tercinta.
Penyelaras Bulan Kemerdekaan sekolah, Shah Rizal Mohd Yusof, 44, berkata, bendera bersaiz 18.3 meter x 8.6 meter dipasang di bangunan utama sekolah itu turut menyemarakkan semangat murid yang kian berkobar-kobar menjelang ketibaan 31 Ogos.
"Murid berasa teruja dan bangga apabila melihat bendera besar ini menghiasi bangunan sekolah, seharian mereka jadi lebih bersemangat, ada yang bergambar dan ada juga yang mula bertanya lebih banyak tentang sejarah kemerdekaan negara.
"Memang hasrat pihak sekolah untuk bukan sahaja menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan tetapi kita mahu menaikkan semangat patriotik dalam kalangan murid di sini," katanya.
Shah Rizal yang merupakan guru Sejarah berkata, bendera gergasi tersebut adalah sumbangan daripada seorang individu kepada pihak sekolah kira-kira lima tahun lepas dan dijaga dengan elok hingga kini.
Sementara itu, Mohd Nazri Mohd Sarif, 53, yang bertanggungjawab mengurus dan menyelenggarakan Jalur Gemilang tersebut berkata, minatnya dalam menghias dan mengibarkan bendera setiap kali menjelang sambutan Hari Kebangsaan bermula sejak di bangku sekolah hingga ke universiti dan masih terus membara hingga hari ini.
Guru Sains itu berkata, tugas tersebut dilaksanakan dengan bantuan rakan setugas, Zainal Abidin Mohamad Som, 51, serta beberapa murid bagi memastikan Jalur Gemilang gergasi itu dipasang dengan megah.
"Bendera gergasi ini bukan sahaja menceriakan suasana sekolah malah menjadi lambang kebanggaan serta tarikan kepada orang ramai yang datang, pemandangan seperti ini jarang dapat dilihat di tempat lain," katanya.
Beliau berkata, Jalur Gemilang itu akan terus berkibar hingga 16 September sempena Hari Malaysia sebagai tanda cinta dan taat setia kepada tanah air, sebelum diturunkan untuk disimpan dengan penuh penghormatan. - Bernama