Kuota antarabangsa tidak menjejaskan pengambilan anak tempatan serlahkan diversiti graduan TVET

Iklan
Isu kuota sering menjadi perdebatan khususnya apabila ada persepsi bahawa pelajar asing mengambil tempat yang sepatutnya diperuntukkan kepada pelajar Malaysia. Gambar kecil: Dr Massila

Pengantarabangsaan pendidikan bukan lagi suatu pilihan, tetapi suatu keperluan yang mendesak dalam landskap global hari ini.

Dalam konteks Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), usaha membuka pintu Malaysia kepada dunia membawa makna besar, ia bukan sekadar soal menambah angka pelajar antarabangsa, tetapi soal memperkukuh ekosistem, memperkayakan pengalaman pembelajaran dan menyemarakkan inovasi yang berpaksikan kepelbagaian budaya serta keilmuan.

Iklan
Iklan

Namun begitu, tidak dinafikan terdapat kebimbangan yang sering berlegar di ruangan umum mempersoalkan bahawa kemasukan pelajar antarabangsa akan menjejaskan peluang anak tempatan?

Isu kuota sering menjadi perdebatan khususnya apabila ada persepsi bahawa pelajar asing mengambil tempat yang sepatutnya diperuntukkan kepada pelajar Malaysia.

Iklan

Hakikatnya, persoalan ini wajar diperjelaskan dengan naratif yang lebih menyeluruh.

Foto: Canva

Iklan

Pertama, pengantarabangsaan tidak bermaksud mengorbankan hak pelajar tempatan sebaliknya ia membuka ruang sinergi dua hala yang mana kehadiran pelajar antarabangsa menambah nilai dalam bentuk jaringan global, perkongsian ilmu serta persaingan sihat yang akhirnya mengangkat standard TVET Malaysia ke tahap lebih tinggi.

Ia sama sekali tidak menghalang pelajar tempatan untuk terus mendapat akses pendidikan, malah memacu mereka keluar daripada zon selesa untuk bersaing di panggung dunia.

Kedua, dasar kerajaan sebenarnya menetapkan keseimbangan yang mana pelajar tempatan tetap menjadi keutamaan dalam pengisian majoriti tempat di institusi TVET awam.

Pelajar antarabangsa pula mengisi ruang tambahan yang berfungsi sebagai pemangkin kepada pembangunan ekosistem, bukan pengganti, tetapi pelengkap.

Dengan cara ini, isu ‘merampas hak’ dapat dilihat daripada perspektif yang lebih adil: peluang tempatan tidak hilang malahan diperluas dengan pendedahan antarabangsa yang dibawa bersama.

Menurut laporan rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi (2023), Malaysia kini menempatkan lebih daripada 136,000 pelajar antarabangsa dari 160 negara.

Foto: Canva

Cabaran strategik di bawah Pelan Strategik Pengajian Tinggi Kebangsaan bertujuan untuk menggandakan angka ini kepada sekurang-kurangnya 250,000 menjelang 2026.

Fakta ini bukan sahaja mengukuhkan keyakinan global terhadap kualiti pendidikan Malaysia bahkan menunjukkan bahawa nisbah pelajar tempatan masih kekal dominan melebihi 85 peratus dalam majoriti institusi awam.

Sebagai contoh, penzahiran kecemerlangan yang telah berjaya dipamerkan di peringkat antarabangsa oleh universiti TVET dalam negara adalah seperti Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang telah memperhebat pelbagai inisiatif seperti program mobiliti pelajar, promosi program pascasiswazah kepada pelajar antarabangsa, latihan industri luar negara serta pengantarabangsaan aspek sahsiah pelajar.

Menariknya, semua usaha ini tidak sedikitpun menjejaskan kuota pelajar tempatan bahkan UTeM berjaya menjadi penerima pelajar baharu tertinggi dalam kalangan MTUN setiap tahun dengan angka yang meningkat dari tahun ke tahun.

Inisiatif sebegini mengangkat UTeM sebagai contoh bagaimana diversiti antarabangsa boleh dikuasai secara inklusif dan kompetitif.

Dalam jangka panjang, pengantarabangsaan TVET juga memberi pulangan ekonomi yang besar dalam aspek yuran, perbelanjaan sara hidup dan sumbangan pelajar antarabangsa kepada ekonomi tempatan bukan sahaja menambah hasil institusi, tetapi turut memberi limpahan kepada masyarakat sekeliling.

Justeru, kita sebenarnya sedang memperkukuh sumber daya untuk menambah baik kemudahan, kualiti pengajaran dan peluang yang akhirnya dinikmati oleh pelajar tempatan sendiri.

Oleh itu, isu kuota dan kebimbangan tentang “hak anak bangsa” wajar dilihat dalam kerangka lebih luas.

Foto: Canva

Pengantarabangsaan bukanlah ancaman, sebaliknya strategi pintar untuk memperkukuh identiti TVET Malaysia di mata dunia.

Dengan keseimbangan dasar, ketelusan data, dan penekanan terhadap keutamaan pelajar tempatan, Malaysia mampu mengurus diversiti dengan bijaksana, menjadikannya sumber kekuatan dan bukan pertikaian.

Akhirnya, pengantarabangsaan TVET bukan sekadar membuka pintu kepada dunia, tetapi membina jambatan ke masa depan.

Malaysia yang berani merangkul kepelbagaian akan tampil bukan sahaja sebagai hab TVET serantau, tetapi juga sebagai contoh sebuah negara yang mampu menguruskan diversiti dengan penuh hikmah.

Inilah visi yang harus digerakkan: sebuah ekosistem TVET yang inklusif, kompetitif, dan berakar kuat pada identiti bangsa, sambil terbang tinggi di langit global.

Maklumat penulis:

Naib Canselor UTeM, Profesor Datuk Ts Dr Massila Kamalrudin

Berbakat dalam bidang penulisan? Apa kata anda sumbangkan hasil karya ke e-mel sinarbestari@sinarharian.com.my