Suasana pilu menyelubungi Institut Kemahiran MARA (IKM) Kota Kinabalu apabila lima penuntutnya maut dalam satu kemalangan ngeri melibatkan dua kenderaan termasuk sebuah treler di Jalan Sulaman Gayang, berhampiran Pusat Latihan Rela Tuaran, di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian sekitar jam 2 petang itu, empat mangsa berusia 20 tahun dikenali sebagai Harianto Anuar, Neil Stanly Pletinie, Mohammad Ikhwan Kurniawan dan Mohamad Zuhaikal Mohd Zaidy. Seorang lagi mangsa masih belum dikenal pasti identitinya.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu, seramai sembilan anggota dikejarkan ke lokasi yang terletak 29 kilometer dari balai.
“Kemalangan melibatkan sebuah treler dengan kenderaan jenis Toyota Wish yang bertembung sebelum terbabas di bahu jalan.
“Terdapat enam mangsa, lima daripadanya berada dalam Toyota Wish. Semua berjaya dikeluarkan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kesemua mayat telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.
Operasi menyelamat ditamatkan pada jam 3.20 petang selepas pihak bomba memastikan kadaan di lokasi selamat.