80 pelajar Pulau Pinang sambung pengajian ke Timur Tengah

Iklan
Mohamad (tengah) menyerahkan replika cek biasiswa dan Skim Permulaan IPT Luar Negara kepada pelajar yang bakal melanjutkan pengajian ke Timur Tengah.

Seramai 80 pelajar dari Pulau Pinang bakal melanjutkan pengajian ke Timur Tengah tahun ini dengan tajaan biasiswa Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Daripada jumlah itu, 61 orang akan ke Mesir dan 19 akan ke Jordan.

Iklan
Iklan

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohamad Abdul Hamid berkata, 40 daripada 61 pelajar yang akan ke Mesir adalah daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan 21 pelajar Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB).

Menurutnya, 19 orang yang akan ke Jordan terdiri daripada empat pelajar KPT dan 15 pelajar KITAB.

Iklan

"Kesemua pelajar terbabit mendapat manfaat daripada Skim Permulaan Institusi Pengajian Tinggi Luar Negara dengan peruntukan berjumlah RM300,000 pada tahun ini. Setiap pelajar akan menerima bantuan permulaan RM2,500 secara one-off.

"Bermula tahun hadapan pula, mereka akan menerima dermasiswa khas antara RM6,000 hingga RM10,000 bagi pengajian di Mesir dan RM10,000 hingga RM14,000 bagi Jordan, bergantung kepada pencapaian akademik masing-masing,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Inspirasi Ilmu: Pelajar ke Timur Tengah 2025 pada Sabtu.

Iklan

Menurut beliau, bagi tahun ini sahaja, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM20 juta untuk dermasiswa tersebut, meningkat RM500,000 berbanding tahun 2024.

"Peruntukan besar ini menandakan kesungguhan kerajaan negeri dalam melahirkan generasi ilmuan Islam yang unggul dan berwibawa.

"Biasiswa ini perlu digunakan sebaik mungkin dan diharapkan selepas tamat pengajian mereka akan kembali menabur bakti untuk negeri Pulau Pinang tercinta," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga Pengerusi MAINPP berkata, usaha memperkasa pendidikan tinggi Islam di Pulau Pinang terus diperkukuhkan dengan kerjasama akademik bersama universiti terkemuka di luar negara.

Beliau memaklumkan Universiti WISE Jordan telah membuka peluang pengajian Ijazah Sarjana Muda sejak Januari 2022 ketika beliau masih menjawat jawatan sebagai Rektor KITAB.

"Pada 2 Oktober 2022, seramai 15 pelajar lepasan diploma KITAB telah dihantar ke Universiti WISE Jordan dengan kemudahan pemindahan kredit secara pukal, membolehkan mereka terus ke tahun ketiga dalam bidang fiqh wal usul, fiqh syafie serta tahfiz wal qiraat.

"Kesemua mereka telah menamatkan pengajian dan sebahagiannya kembali menabur bakti di negeri ini," katanya.

Katanya lagi, pada tahun ini KITAB Pulau Pinang turut memperluaskan kerjasama akademik dengan Universiti Yarmouk dan Universiti Mu’tah di Jordan melalui model 2+2 iaitu dua tahun pengajian di KITAB dan dua tahun di Jordan.

Selain itu, beliau menambah, Pulau Pinang turut mencatat sejarah baharu apabila pada 17 Disember 2023, kerajaan negeri menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Al Azhar Mesir dan KITAB Pulau Pinang.

"Kerjasama akademik ini amat penting bagi meletakkan kedudukan pendidikan tinggi Islam Pulau Pinang pada landasan strategik untuk menyumbang secara kompetitif selaras dengan visi Penang2030.

"Bermula tahun 2024, kita telah menghantar beberapa pelajar ke Universiti Al Azhar dengan kemudahan pemindahan kredit secara pukal," katanya.

Beliau juga menegaskan kerajaan negeri akan terus komited menyediakan peluang pendidikan berkualiti kepada anak muda Pulau Pinang agar dapat melahirkan generasi ummah yang cemerlang.