Seramai 150 mahasiswa dalam dan luar negara telah berganding bahu menjayakan program Pembersihan Pantai di Pantai Teluk Ketapang, Kuala Terengganu baru-baru ini.
Program tersebut merupakan sebahagian daripada International Scout Youth Leadership Forum (ISLYF) yang menghimpunkan peserta bukan sahaja dari seluruh Malaysia, malah dari luar negara termasuk Brunei, India, Jepun, Nepal, Sri Lanka dan Timor-Leste.
Menurut Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Melaka, Muhammad Zulhusnie Khalib, aktiviti pembersihan pantai ini menjadi simbolik kepada usaha bersama masyarakat global dalam melestarikan alam sekitar.
"Program sebegini seharusnya menjadi teladan kepada mahasiswa lain. Kita mesti sayangi pantai dan alam sekitar kerana ia adalah warisan untuk generasi akan datang," katanya.
Wakil peserta dari Politeknik Merlimau, Melaka, Cha Song Cheng pula berpendapat bahawa mahasiswa harus lebih aktif melibatkan diri dalam program berbentuk khidmat masyarakat.
"Aktiviti seperti ini tidak memerlukan kos besar, namun impaknya kepada alam sekitar sangat besar. Inilah sumbangan kecil tetapi bermakna daripada mahasiswa," ujarnya.
Sementara itu, wakil dari Nepal, Ritik Magiya turut menyuarakan keterujaannya dapat bersama-sama menjayakan program tersebut.
"Saya gembira dapat menyertai aktiviti ini. Ia sangat bermanfaat, menyeronokkan dan memberi kesedaran kepada kami semua untuk menjaga kebersihan," katanya.
Sepanjang dua jam program berlangsung, para peserta berjaya mengutip pelbagai jenis sampah termasuk plastik, tali kapal, botol kaca, puntung rokok serta sisa lain.
Keseluruhannya, sebanyak 10 beg plastik sampah berjaya dikumpulkan sebelum dihantar ke pusat pelupusan.
Program ini bukan sahaja menyumbang kepada kebersihan pantai, malah memberi pendedahan secara langsung kepada mahasiswa mengenai kepentingan menjaga alam sekitar.
Ia juga mengukuhkan semangat kerjasama belia antarabangsa dalam memikul tanggungjawab bersama melindungi bumi.