Usaha inovatif tiga guru Sekolah Rendah Agama (SRA) Pekan Jeram, Selangor telah membuahkan hasil apabila teknik pengajaran KSB (Kenal, Susun, Bunyi) berjaya membantu murid-murid Tahun Dua menguasai asas tulisan Jawi dengan lebih berkesan.
Kajian tindakan yang dilaksanakan oleh Mohd Izzuwan Mahyudin, Mohammad Nurhaniff Najmi Mohd Zamri dan Nuraisyah Afiqah Subhi itu melibatkan lima murid Kelas 2 Ibnu Khaldun yang dikenal pasti lemah dalam mengenal, menyusun dan membunyikan huruf Jawi.
Menurut laporan kajian itu, kaedah pengajaran konvensional yang bersifat abstrak kurang menarik minat murid.
Oleh itu, para guru memperkenalkan teknik pengajaran KSB yang menggunakan bahan bantu seperti kiub huruf Jawi, kad bergambar berlamina dan kotak susun huruf.
Murid diberi peluang mengenal, menyusun dan membunyikan huruf Jawi secara berperingkat sebelum membentuk perkataan mudah.
"Murid lebih seronok dan fokus apabila pembelajaran dilaksanakan dalam bentuk permainan. Mereka berusaha mengenal huruf dengan betul serta lebih berhati-hati supaya tidak melakukan kesilapan," kata salah seorang guru pengkaji.
Peningkatan ketara dalam ujian Pos
Berdasarkan ujian pra, murid-murid menunjukkan pencapaian sederhana dan rendah dengan markah antara lapan hingga 16 daripada 40.
Namun selepas pelaksanaan teknik KSB, keputusan ujian pos mencatat peningkatan ketara.
Murid A, B dan C masing-masing meningkat kepada 25 markah, murid D melonjak kepada 28 markah manakala murid E juga menunjukkan peningkatan daripada lapan kepada 15 markah.
Hasil ini membuktikan keberkesanan teknik KSB dalam meningkatkan kemahiran asas Jawi khususnya bagi murid yang mengalami kesukaran mengenal huruf-huruf seperti ض، ص، ش، س، ا، ب dan ث.
Selaras dengan PAK21
Kajian tersebut turut menekankan bahawa teknik KSB seiring dengan konsep Pengajaran dan Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21) yang memberi penekanan kepada komunikasi, kreativiti dan pembelajaran berpusatkan murid.
Guru-guru SRA Pekan Jeram juga sepakat bahawa pendekatan ini wajar diperluaskan kepada murid lain khususnya Tahun 1 yang masih berada dalam fasa awal pembelajaran Jawi.
Harapan masa depan
Pihak sekolah berharap teknik KSB dapat dijadikan modul pengajaran rasmi, bukan sahaja di SRA Pekan Jeram, malah diperluaskan ke sekolah-sekolah agama di seluruh Selangor dengan sokongan Bahagian Pendidikan Islam (BPI) Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
"Jika murid boleh membaca Jawi dengan baik, insya-ALLAH prestasi mereka dalam mata pelajaran lain juga akan meningkat. Kami yakin teknik ini mampu membantu lebih ramai murid celik Jawi," ujar mereka.
Penulis: Mohd Izzuwan Mahyudin