Wonosobo yang ASRI (Aman, Sehat, Rapi, Indah), terkenal dengan keindahan alam dan suasananya yang menenangkan, menjadi lokasi pertama kali pelaksanaan Malaysia #QuranHour 2025 di bumi Wonosobo pada 21 Ogos 2025.
Tahun ini, program diangkat dengan tema istimewa iaitu 'HUT RI: Merdeka dengan Rasa'.
Pengarah Program, Ahmad Salahuddin Jabar berkata, pemilihan tema ini sangat bertepatan kerana bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan Republik Indonesia pada 17 Ogos yang lalu.
"Lebih daripada sekadar memperingati Hari Kemerdekaan, program ini membawa mesej bahawa kemerdekaan sebenar bukan hanya bebas dari penjajahan fizikal, tetapi juga kemerdekaan jiwa yang berpaksikan nilai tauhid dan bimbingan al-Quran.
"Lokasi Wonosobo, Jawa Tengah, Indonesia bukan sekadar kerana alamnya yang indah dan udaranya yang sejuk, tetapi kerana daerah ini melambangkan wajah Islam yang ramah, damai dan penuh nilai tradisi.
"Lebih bermakna lagi, ini merupakan julung-julung kalinya program #QuranHour dilaksanakan di Wonosobo menjadikannya sebuah detik bersejarah dalam menyatukan dua negara melalui al-Quran," katanya.
Program ini dilaksanakan oleh 19 pelajar Tahun Tiga, Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kolaborasi 15 mahasiswa Program Komunikasi Penyiaran Islam, Universitas Sains Al-Qur’an (UNSIQ) Wonosobo.
Turut hadir sebagai pegawai pengiring ialah Dr Suhailiza Md Hamdani yang membimbing serta menyokong penuh perjalanan mahasiswa dalam menjayakan program ini.
Bertempat di Pondok Pesantren Entrepreneur Ar Ridwan, program menghimpunkan peserta dari pelbagai latar belakang dalam suasana penuh ukhuwah Nusantara.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah al-Fatihah dan Surah al-Baqarah ayat 1-5 oleh Kiyai Haji Abdullah Maksum Al-Hafiz, Spdi., Msi., kemudian disambung dengan bacaan Surah Ali Imran ayat 52 dan Surah as-Saff ayat 14 oleh Qari dari USIM iaitu Muhammad Aslam Hafiz Mohd Noh.
Qari dari UNSIQ iaitu Muhammad Fu’ad Muzakqy pula meneruskan dengan Surah as-Saff ayat 1-6, sebelum pelajar Pesantren Ar Ridwan iaitu Tiara Devi Ratna Sari melantunkan Surah al-Balad ayat 12-18 serta Surah as-Saff ayat 12-14.
Selain bacaan al-Quran, program turut diisi dengan sesi tadabbur, ikrar Quran, pesan kemerdekaan, doa dan resolusi bersama.
Semua ini menjadikan #QuranHour bukan sekadar majlis bacaan, tetapi wadah untuk mahasiswa dan masyarakat membina jati diri serta menyemarakkan semangat kemerdekaan berlandaskan petunjuk Ilahi.
Kata beliau, lebih istimewa penglibatan mahasiswa USIM dan UNSIQ sebagai penganjur memperlihatkan peranan golongan muda sebagai duta dakwah serantau.
Mereka bukan sahaja menuntut ilmu di kampus, tetapi juga turun ke lapangan membina jambatan ukhuwah Nusantara melalui wahana al-Quran.
Menambahkan lagi makna, program ini turut mendapat dukungan daripada Rumah Ngaji dan Ummah Ikhlas yang sejak sekian lama konsisten menggerakkan masyarakat dengan budaya membaca, memahami dan mengamalkan al-Quran.
Kolaborasi ini memperlihatkan kesatuan misi dalam membina generasi berjiwa merdeka, berlandaskan al-Quran serta memperkukuh jaringan dakwah di peringkat Nusantara.
Inisiatif kempen #QuranHour anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) telah mendapat sambutan luas daripada pelbagai pihak dari dalam dan luar negara, sebagai usaha mendekatkan masyarakat dengan al-Quran.
Usaha ini seiring dengan visi MengQurankan Bangsa, Mengikhlaskan Ummah menjelang 1500H.