Ustazah Bonda kongsi panduan lengkap genggam 9A UPKK 2025

Iklan
Ustazah Bonda (kiri) mendoakan calon-calon mencapai 9A dalam UPKK 2025 dan menjadi insan berilmu serta berakhlak mulia.

Peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2025 dijadualkan berlangsung pada November depan dan menjadi antara peperiksaan paling penting bagi murid Tahun 5 Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di seluruh negara.

UPKK merangkumi sembilan subjek utama iaitu Akidah, Ibadah, Sirah, Adab, Bahasa Arab, Jawi & Khat, Tilawah & Hafazan, Amali Solat serta Penghayatan Cara Hidup Islam (PCHI).

Iklan
Iklan

Peperiksaan ini bukan sekadar mengukur penguasaan ilmu agama secara teori, malah menilai amalan, akhlak dan penghayatan cara hidup Islam yang diterapkan kepada murid.

Menurut guru Sekolah Rendah Agama (SRA) Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor, Ustazah Munera Hashim (Ustazah Bonda), ramai murid mengimpikan keputusan 9A dalam UPKK.

Iklan

Namun, katanya, impian itu hanya akan menjadi kenyataan dengan usaha yang terancang, disiplin belajar yang baik, doa berterusan dan restu ibu bapa.

Sebagai usaha membantu calon UPKK 2025 mencapai kecemerlangan, Ustazah Bonda yang juga Juru Latih Utama Negeri Kajian Tindakan dan Inovasi Pendidikan, Bahagian Pendidikan Islam (BPI), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), tampil berkongsi panduan khusus yang boleh dijadikan rujukan untuk menggenggam 9A dalam UPKK.

Iklan

1) Subjek Akidah - Mantapkan keyakinan

Fokus: Pengertian, rukun, sifat wajib/mustahil/harus, Islam dan sains, nama, jenis/bahagian, contoh.

Tip belajar:

  • Gunakan kad imbas (flashcard) untuk setiap sifat ALLAH dan Rasul.
  • Hafal secara berperingkat: Tiga sifat sehari + ulang kaji semua pada hujung minggu.
  • Kaitkan dengan fenomena alam supaya mudah faham, contohnya sifat Qudrat (berkuasa) melalui ciptaan langit dan bumi. Begitu juga tajuk Islam dan sains.

2) Ibadah - Amalan yang Sah

Fokus: Pengertian, rukun, syarat sah/wajib, perkara sunat, perkara membatalkan, jenis/bahagian, isu, perbezaan, hikmah/fadhilat

Tip belajar

  • Latih soalan situasi atau isu seperti 'Jika terlupa rukun solat, apa yang perlu dilakukan?'.
  • Buat peta minda bergambar untuk setiap ibadah supaya mudah diingati.
  • Latihan amali di rumah. Contohnya berwuduk dengan pemantauan ibu bapa.

3) Sirah - Sejarah Yang Hidup

Fokus: Pengertian, tarikh, nama, tempat, peristiwa, tempoh/masa/jumlah, hikmah/fadhilat, sumbangan.

Tip belajar:

  • Gunakan teknik cerita semula kepada rakan atau ahli keluarga.
  • Jadikan fakta dalam bentuk lagu yang kamu suka.
  • Tandakan tahun-tahun penting dalam garis masa (timeline).
  • Hafal kisah pendek dengan teknik 5W1H (Who/Siapa, What/Apa, When/Bila, Where/Di mana, Why/Kenapa, How/Bagaimana).

4) Adab - Peribadi Mulia

Fokus: Pengertian, adab, dalil, hikmah/fadhilat, akibat, contoh, isu/situasi.

Tip belajar

  • Latih drama kecil di kelas atau rumah untuk mempraktikkan adab.
  • Gunakan jadual pemeriksaan adab. Tanda bila berjaya amalkan setiap hari.
  • Ingat bahawa adab akan memberi keberkatan pada ilmu dan markah.

5) Bahasa Arab - Kuasai Asas

Fokus: Kosa kata perbualan/ peralatan/ pakaian/ haiwan/ buah-buahan/ warna/ nombor/ hari/ bulan/ jam, tatabahasa asas dhamir/ feel/ isim/ istifham/ harf jar, contoh perkataan/ayat.

Tip belajar

  • Hafal lima perkataan baru setiap hari menggunakan lagu atau irama secara berantaian.
  • Tampal senarai perkataan yang telah dihafaz di bilik tidur atau ruang belajar bagi mengekalkan ingatan.
  • Latihan membina ayat pendek setiap hari untuk memudahkan peperiksaan.

6) Jawi & Khat - Tulisan Indah

Fokus: Ejaan Jawi baru, jenis khat yang diajar.

Tip belajar

  • Tulis semula ayat/perkataan Jawi dari buku teks setiap hari.
  • Gunakan pensel 2B atau pen dakwat hitam untuk khat supaya lebih kemas.
  • Latih menulis tanpa melihat rujukan untuk menguji ingatan ejaan.
  • Menulis perkataan jawi menggunakan teknik khat sebagai pengukuhan Latihan 2 dalam 1.

7) Tilawah & Hafazan - Lantunan Ayat Suci

Fokus: Tajwid, kelancaran bacaan, hafazan ayat al-Quran.

Tip belajar

  • Hafaz dua baris sehari + ulang hafazan lama sebelum menambah hafazan baru.
  • Gunakan rakaman audio guru untuk memastikan sebutan tepat.
  • Hafaz bersama rakan untuk saling menguji.

8) Amali Solat - Praktikal Sempurna

Fokus: Rukun: Pergerakan, bacaan, dan tertib solat.

Tip belajar

  • Latihan solat penuh di rumah setiap minggu.
  • Minta ibu bapa atau adik-beradik menjadi 'pemeriksa' seperti peperiksaan sebenar.
  • Hafaz bacaan dalam solat sehingga lancar tanpa tersekat.

9) Penghayatan Cara Hidup Islam (PCHI) - Islam Sebagai Gaya Hidup

Fokus: Aplikasi nilai Islam dalam kehidupan harian.

Tip belajar

  • Catat amalan harian seperti memberi salam, menjaga kebersihan dan menolong orang.
  • Fahami konsep halal haram, kebersihan dan muamalah mudah.
  • Hubungkan soalan peperiksaan dengan pengalaman sebenar di rumah atau sekolah.