Mara kembali hantar pelajar perubatan, pergigian ke Mesir - Asyraf Wajdi

Iklan
Asyraf Wajdi (kiri)

Selepas hampir satu dekad terhenti, Majlis Amanah Rakyat (Mara) kembali menghantar pelajar perubatan dan pergigian ke Universiti Al-Azhar, Mesir pada tahun ini dengan penjimatan lebih besar.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penghantaran seramai 42 orang pelajar itu hasil rundingan dijalankan awal tahun ini dengan presiden universiti berkenaan yang membawa kepada perkembangan positif.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kali terakhir pelajar dalam bidang perubatan di hantar ke universiti terkenal itu pada 2013 manakala pergigian pula pada 2019.

"Penghantaran semula ini adalah selari dengan dasar kerajaan untuk memperluaskan peluang pendidikan dalam bidang kritikal dengan kos yang jauh lebih rendah daripada universiti tempatan.

Iklan

"Lebih membanggakan, hasil rundingan yang dijalankan awal tahun ini dengan Presiden Universiti Al-Azhar, Mara berjaya memperoleh pengurangan yuran pengajian di mana hanya RM90,000 bagi setiap pelajar dalam bidang perubatan untuk tempoh lima tahun pengajian. Ini adalah satu penjimatan besar demi kelangsungan pendidikan anak bangsa," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Menerusi hantaran sama, Asyraf Wajdi turut berkongsi pengalaman beliau bertemu dengan pelajar tajaan Mara yang bakal berlepas ke Mesir dan Korea Selatan itu melalui Program Pra Pelepasan Pelajar Tajaan Mara bagi sesi 2025 yang berlangsung di ibu pejabat agensi berkenaan.

Iklan

Beliau berkata, kali ini seramai 91 pelajar yang terpilih akan melanjutkan pengajian ke Korea Selatan dalam pelbagai bidang strategik seperti perubatan, pergigian, automasi dan teknologi maklumat.

"Alhamdulillah, saya juga sempat bertukar soalan dan pandangan bersama anak-anak ini. Melihat kesungguhan, semangat serta cita-cita besar mereka, saya yakin mereka akan menjadi duta kecil negara, menimba ilmu dengan sebaiknya dan insya-ALLAH akan kembali sebagai tenaga pakar yang mampu menyumbang kepada agama, bangsa dan tanah air tercinta," katanya.