Sekolah Kebangsaan (SK) Patau-Patau, Wilayah Persekutuan Labuan mengungguli Festival TV Pusat Sumber Sekolah (PSS) Sinar Bestari Peringkat Kebangsaan 2025 apabila merangkul empat anugerah di Geno Hotel, Subang Jaya, Selangor pada Rabu.
Pasukan yang melibatkan empat murid berusia 10 hingga 12 tahun itu meraih kemenangan besar apabila diumumkan sebagai Johan Pengarah Terbaik, Johan Pengacara Terbaik, Naib Johan Jurukamera Terbaik dan Johan Video TV PSS Terbaik kategori Sekolah Rendah.
Guru Perpustakaan dan Media SK Patau-Patau, Asanizan Tasim berkata, kejayaan itu cukup manis kerana ia adalah penyertaan sulung sekolah berkenaan di festival berprestij tersebut.
"Ia pengalaman pertama murid-murid kami sertai pertandingan peringkat kebangsaan.
"Lebih manis lagi, mereka juga kali pertama menaiki kapal terbang ke Kuala Lumpur untuk bertanding. Tentunya kemenangan ini jadi kenangan berharga," katanya.
Terdahulu, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan menyempurnakan Majlis Kemuncak Festival TV PSS Sinar Bestari Peringkat Kebangsaan 2025.
Hadir sama Pengerusi Karangkraf, Firdaus Hussamuddin; Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin; Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan (BSTP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Aniza Kamarulzaman serta Timbalan Pengarah BSTP, KPM, Moktar Wahid.
Asanizan berkata, mereka meraih hadiah wang tunai sebanyak RM1,500 melalui kemenangan bagi Anugerah Video TV PSS Terbaik kategori sekolah rendah.
Justeru, beliau berkata, wang tunai RM1,500 yang dimenangi akan digunakan untuk menaik taraf studio TV PSS sekolah agar murid-murid lebih bersemangat menghasilkan karya kreatif.
"Setakat ini, kami hanya guna peralatan asas seperti telefon bimbit.
"Jadi dengan duit kemenangan terbabit, kami akan cuba tambah baik peralatan studio supaya hasil kerja murid lebih berkualiti," ujarnya.
Tambah Asanizan, kejayaan itu juga membuktikan murid sekolah rendah mampu bersaing di pentas besar apabila dibimbing dengan betul.
"Walaupun datang dari sekolah kecil, mereka buktikan kemampuan dengan menguasai hampir semua kategori dan ia pengiktirafan besar untuk sekolah kami," menurutnya.
Program berprestij anjuran Sinar Bestari dengan kerjasama BSTP KPM menghimpunkan 32 penyertaan dari 16 negeri seluruh negara melibatkan kategori SK dan SMK.