Pasukan inovasi Sekolah Kebangsaan (SK) Kimanis, Papar, Sabah mencipta sejarah apabila diumum sebagai penerima Anugerah Khas Juri (Inovasi Berpotensi Luas) pada Karnival Inovatif dan Kreatif Profesionalisme Keguruan (KIKPK) 2025 baru-baru ini.
Kumpulan yang dikenali sebagai DiSKeT membawa pulang wang tunai RM3,000, sebuah trofi dan sijil penghargaan sekali gus menandakan pencapaian besar buat sekolah dari Sabah itu.
KIKPK yang dianjurkan Bahagian Profesionalisme Guru (BPG), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengangkat tema 'Inovasi dan Kreativiti: Memperkasa Masyarakat Pendidik Madani Digital'.
Ia menjadi wadah utama dalam memupuk kreativiti, inovasi dan profesionalisme guru serta pemimpin pendidikan seiring dengan pembangunan pendidikan digital negara.
Menurut penganjur, Anugerah Khas Juri (Inovasi Berpotensi Luas) diberikan kepada projek inovasi yang mempunyai nilai tambah tinggi dan prospek besar untuk diperluas penggunaannya di peringkat sekolah, daerah, negeri mahupun kebangsaan.
Malah, pengiktirafan khas ini diberikan kepada usaha kreatif warga pendidik yang berpotensi memberi impak lebih meluas terhadap ekosistem pendidikan.
"Kejayaan DiSKeT SK Kimanis membuktikan bahawa sekolah luar bandar juga mampu menghasilkan inovasi pendidikan bernilai tinggi dan relevan untuk diaplikasikan secara lebih menyeluruh bukan sahaja di peringkat sekolah malah ke tahap yang lebih tinggi," kata penganjur dalam satu kenyataan.