Keselamatan sekolah jadi fokus Belanjawan 2026 – KPM

Iklan
Fadhlina (tiga dari kiri) meluangkan masa membaca buku selama 10 minit bersama para pelajar pada Majlis Perasmian DMK 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2).

Aspek keselamatan sekolah bakal menjadi antara tumpuan utama Kementerian Pendidikan (KPM) dalam Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan pada 10 Oktober depan di Dewan Rakyat.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah itu selaras dengan usaha kerajaan memastikan murid dapat belajar dalam suasana kondusif, selamat dan sejahtera.

Iklan
Iklan

“Selain keselamatan sekolah, Belanjawan 2026 juga akan memberi penekanan kepada pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), inisiatif sokongan antibuli, agenda digital serta teknologi, persiapan Kurikulum 2027 dan pelan pembangunan pendidikan baharu,” jelasnya.

Menurut Fadhlina, tumpuan terhadap TVET kali ini akan dilaksanakan secara lebih bersasar dengan mengambil kira kepentingan, keperluan dan hala tuju negara.

Iklan

“Secara keseluruhan, pembentangan Belanjawan 2026 amat menyeluruh dengan sasaran khusus bagi meningkatkan dan memartabatkan lagi kualiti pendidikan negara,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) 2025 di Putrajaya.

Fadhlina (empat dari kiri) melakukan gimik perasmian pada Majlis Perasmian DMK 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (2) hari ini. Kelihatan Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad (tiga,kiri).

Iklan

Audit keselamatan sekolah

Setakat ini, lebih 700 daripada 10,000 sekolah di seluruh negara telah diaudit bagi memastikan tahap keselamatan berada pada standard terbaik.

“Perjalanan masih jauh, tetapi perkembangan yang berlaku sangat positif. Kita akan umumkan dapatan awal audit ini tidak lama lagi,” tambah beliau.

Sebelum ini, KPM telah mengarahkan Ketua Jemaah Nazir untuk mengerah semua anggota menjalankan audit keselamatan sekolah dengan laporan dikemukakan setiap minggu. Langkah ini sebahagian daripada usaha memperkukuh keselamatan di sekolah dan asrama.

Aspirasi #MalaysiaMembaca

Dalam pada itu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memaklumkan bahawa DMK 2025 merupakan inisiatif nasional yang digerakkan sejak 2021 hingga 2030 untuk membudayakan amalan membaca dalam kalangan rakyat.

DMK menyasarkan Malaysia tersenarai dalam 20 negara pembaca terbaik dunia menjelang 2030 dengan purata bacaan rakyat meningkat daripada 15 judul buku kepada 50 judul setahun.

Program ini dilaksanakan secara kolaboratif dengan penglibatan pelbagai kementerian, agensi, sektor swasta, NGO dan komuniti setempat.