Sebanyak 17 daripada 46 projek pembangunan pendidikan yang sebelum ini berstatus lewat seperti dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 3/2025 telah berjaya disiapkan, menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
KPM dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, 19 projek berada dalam pelbagai peringkat pelaksanaan, merangkumi tiga projek Dahulu Jadual (DJ), lapan projek Ikut Jadual (IJ), tiga projek Lewat Jadual (LJ) serta lima projek tender semula.
Baki 10 projek pula masih kekal berstatus lewat dan kini diberi tumpuan khusus bagi mempercepatkan kemajuan pelaksanaannya melalui pemantauan rapi di tapak serta mekanisme penyelarasan pembangunan negara.
"Sesi libat urus turut diadakan secara berkala dengan semua pemegang taruh termasuk kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penyedia utiliti," menurut kenyataan itu.
KPM menegaskan, pihaknya sentiasa berusaha memastikan pelaksanaan projek pembangunan dijalankan dengan baik mengikut tempoh masa yang ditetapkan demi manfaat masyarakat keseluruhan.
Menurut LKAN, sebanyak 46 projek pembangunan di bawah KPM berstatus lewat sehingga 31 Disember 2024, mewakili 2.3 peratus daripada keseluruhan 2,040 projek di bawah Rolling Plan 4 (RP4) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12). - Bernama