Di sebalik wajah lembut dan senyumannya yang menenangkan, tersimpan semangat luar biasa seorang gadis muda bernama Ilya Balqis Suhaimi, pelajar Sarjana Pengajian Etnik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Namanya mula menjadi sebutan apabila beliau antara 23 sukarelawan Malaysia yang selamat pulang malam tadi, selepas menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Keberanian dalam misi berisiko tinggi itu bukan sekadar tanggungjawab sementara, sebaliknya satu panggilan jiwa untuk terus membantu mereka yang tertindas.
"Mungkin beliau sedar risikonya besar, tetapi hatinya tetap tenang setiap kali dapat menyalurkan bantuan. Inilah cara dia berbakti kepada ummah," kongsi netizen di media sosial.
Berkongsi rekod pendidikan Ilya Balqis yang dipetik menerusi Facebook peribadi, penuntut ini pernah menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 18, Shah Alam, Selangor sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Al al-Bayt, Jordan, sebuah institusi terkenal dalam bidang pengajian Islam dan bahasa Arab.
Kini, beliau meneruskan langkah akademiknya di peringkat Sarjana Pengajian Etnik di Institut Kajian Etnik (KITA-UKM).
Program ini menekankan pemahaman mendalam tentang isu-isu etnik, kemanusiaan dan dasar pembangunan sosial, selaras dengan misinya untuk memperjuangkan keadilan dan keharmonian sejagat.
Menurut laman rasmi KITA-UKM, program tersebut bertujuan melahirkan graduan berkemahiran tinggi dalam memahami dan menganalisis pelbagai isu etnik, di samping memperkukuh kefahaman sosial untuk diaplikasikan dalam konteks tempatan dan global.
Gigih bersama Cinta Syria Malaysia
Selain menjadi pelajar cemerlang, Ilya Balqis juga aktif dalam organisasi bukan kerajaan (NGO) iaitu Cinta Syria Malaysia (CSM).
Melalui platform ini, beliau menyertai pelbagai program bantuan kepada pelarian Syria termasuk pendidikan anak-anak pelarian dan misi bantuan kecemasan bagi mereka yang terkesan akibat konflik berpanjangan.
Keaktifannya dalam CSM membuktikan bahawa perjuangan kemanusiaan tidak berhenti pada sempadan negara.
Setiap usaha kecil, katanya, mampu membawa perubahan besar kepada kehidupan orang lain.
Buat Ilya Balqis dan rakan-rakan aktivis kemanusiaan, doa seluruh rakyat Malaysia sentiasa mengiringi perjuangan kalian.
Teruslah kuat, tabah dan istiqamah dalam misi mulia ini kerana dunia memerlukan lebih ramai insan berhati besar seperti anda.