
Pejuang GSF, Heliza Helmi rupanya graduan UMS & penerima Anugerah Dekan!
Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus menjadi antara universiti pilihan utama dalam kalangan pelajar tempatan mahupun antarabangsa.
Faktor utama yang menjadikan UMS pilihan ramai adalah kepelbagaian program pengajian yang ditawarkan meliputi bidang sains, teknologi, kejuruteraan, kemanusiaan dan perniagaan.
Selebriti dan aktivis kemanusiaan, Nur Heliza Helmi atau Datin Heliza Helmi turut memilih UMS sebagai destinasi menimba ilmu.

Alumni dalam bidang Ijazah Sarjana Muda (Biologi dan Kimia) berjaya menamatkan pengajian pada tahun 2010 dengan pencapaian cemerlang termasuk menerima Anugerah Dekan.
Selain UMS, anak kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu ini turut mendapat pendidikan awal di beberapa institusi lain seperti Tadika Yayasan Islam Kuala Terengganu; Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu; Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Treacher Methodist, Taiping, Perak; Sekolah Menengah Konven St. Ursula, Tawau, Sabah dan Kolej Matrikulasi Labuan, Kampung Merinding, Labuan.

Selain kecemerlangan akademik, anak kepada pasangan Helmi Mohd Hasbi dan Latifah Muhammad juga berbakat besar sebagai penyanyi, pendakwah, pengacara, penceramah dan pelakon. Kagum sungguh dengan pencapaiannya.
Terbaharu, isteri kepada Datuk Mahadi Badrul Zaman turut menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, namun konvoi tersebut dilaporkan ditahan tentera Zionis.

Rakyat Malaysia kini mendoakan agar Heliza bersama pasukan sukarelawan lain berada dalam keadaan selamat dan segera kembali ke tanah air sekali gus dapat meneruskan perjuangan besar dalam membantu masyarakat yang tertindas di seluruh dunia selepas ini.
